Mahkamah tolak permohonan habeas corpus enam wanita warga China
Khalis Khadir
Oktober 16, 2024 14:16 MYT
Oktober 16, 2024 14:16 MYT
KUALA LUMPUR: Permohonan habeas corpus enam wanita warga China supaya mereka dibebaskan serta-merta daripada tahanan di bawah kawalan serta jagaan Komandan Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil, ditolak.
Enam wanita yang memfailkan permohonan pada 9 September lalu ialah jurutera Fu Xiaoling, 40; artis opera Fu Xiaoyan, 37; perunding teknikal Zhong Li, 27; pembantu akaun Ai Xi, 31; model Huang Ting, 33; dan pemegang pas lawatan Zhao Jinming, 26.
Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid ketika membuat keputusan di Mahkamah Tinggi, di sini, pada Rabu berkata, ia setelah meneliti keseluruhan afidavit difailkan kedua-dua pihak.
Mahkamah mendapati dua isu dikemukakan oleh pemohon tidak berpihak kepada mereka.
Prosiding dihadiri peguam J Matthews mewakili enam wanita terbabit manakala Peguam Kanan Persekutuan Mohd Zain Ibrahim mewakili Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Ketua Pengarah JIM, Menteri Dalam Negeri, Komandan Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil dan Kerajaan Malaysia selaku responden.
Menerusi afidavit sokongan, Matthews berkata kesemua wanita itu ditahan JIM dalam satu serbuan di sebuah pusat hiburan pada 22 Ogos lalu dan selepas tamat tempoh reman mereka diperintah untuk diusir dari negara ini walaupun mempunyai visa kemasukan ke Malaysia secara sah.
Beliau mendakwa pemohon-pemohon yang merupakan pemegang pas pekerjaan yang sah dan pas lawatan juga tidak disabitkan sebarang kesalahan atau dijatuhi hukuman bagi mana-mana kesalahan terkait dengan tangkapan ke atas mereka.
Rentetan itu beliau berkata, perintah tahanan dan pengusiran dikeluarkan ke atas pemohon bersifat pramatang, tidak disokong bukti kukuh serta penyalahgunaan kuasa dan satu tindakan melebihi peruntukan dalam Akta Imigresen 1959/1963.
Selepas prosiding, Matthews ketika ditemui media berkata pihaknya akan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan itu dalam masa terdekat.