Mahkamah tolak permohonan DNAA Najib, Mohd Irwan
Bernama
Julai 22, 2024 14:34 MYT
Julai 22, 2024 14:34 MYT
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah supaya dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada tuduhan pecah amanah membabitkan harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion.
Peguam Datuk Seri K. Kumaraendran dan Muhammad Farhan Muhammad Shafee, masing-masing mewakili Mohd Irwan Serigar dan Najib membuat permohonan itu atas alasan pihak pendakwaan gagal menyerahkan ratusan dokumen penting untuk diteliti pembelaan sebelum perbicaraan bermula.
Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin bagaimanapun menolak permohonan itu dan memberi masa tiga bulan kepada pendakwaan untuk menyerahkan semua dokumen itu, sebelum menangguhkan perbicaraan ke 14 Nov ini.
"Pihak-pihak diminta bersedia kerana kes akan diteruskan pada tarikh tersebut, tiga bulan adalah mencukupi untuk pendakwaan menyerahkan kesemua baki dokumen sebelum perbicaraan bermula.
"Sila ambil maklum tarikh akhir perbicaraan, tiada lagi penangguhan," kata Hakim Muhammad Jamil.
Terdahulu Kumaraendran berkata dokumen-dokumen yang belum diserahkan adalah penting kerana ia merujuk kepada pernyataan saksi pembelaan serta kenyataan yang dirakamkan saksi-saksi kepada pegawai penyiasat.
"Saya ingin maklumkan bahawa kami belum menerima dokumen itu sejak perintah terakhir dibuat, pihak pendakwaan berkata mereka akan memohon dokumen itu dinyahklasifikasi, namun timbalan pendakwa raya berkata mereka tidak tahu bila dokumen itu akan dinyahklasifikasikan.
"Sekiranya pihak pendakwaan bertegas agar perbicaraan diteruskan tanpa dokumen, anak guam saya tidak akan mendapat perbicaraan yang adil, justeru saya minta kes ini menjadi DNAA. Apabila mereka (pihak pendakwaan) bersedia dengan dokumen yang diperlukan, anak guam saya bersedia menghadapi pertuduhan," katanya.
Sementara itu Muhammad Farhan mengguna pakai alasan yang sama bagi memohon DNAA terhadap Najib, berikutan senarai dokumen yang diminta adalah sama pentingnya dengan pembelaan Najib.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi membantah permohonan DNAA itu atas alasan proses menyahklasifikasi dokumen bergantung sepenuhnya kepada kementerian-kementerian yang terlibat dan pihak pendakwaan tidak mempunyai kuasa untuk menentukannya.
Pada 24 Okt 2018 Najib, 70, dan Mohd Irwan, 66, mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan pecah amanah harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion, berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).
Mereka dituduh melakukan perbuatan itu di Kompleks Kementerian Kewangan Malaysia, Putrajaya antara 21 Dis 2016 dan 18 Dis 2017 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang boleg membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
-- BERNAMA
#Mahkamah Tinggi tolak permohonan
#Najib Razak
#Mohd Irwan Serigar Abdullah
#dilepas tanpa dibebaskan
#DNAA
#tuduhan pecah amanah