Mahkamah tolak pengakuan salah lelaki abai anak

Sinar Harian
Julai 15, 2024 12:00 MYT
Roslan didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas pertuduhan mengabaikan anak lelakinya dengan membiarkannya tidur di kaki lima rumah flat di Pasir Gudang. - Foto Sinar Harian
JOHOR BAHRU: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menolak pengakuan bersalah seorang bapa yang didakwa melakukan pengabaian terhadap anak lelakinya dengan membiarkannya tidur di kaki lima kediaman sebuah flat di Pasir Gudang minggu lalu.
Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim menolak pengakuan tertuduh, Roslan Abas, 56, yang pada mulanya mengaku bersalah selepas mendapati pengakuan tersebut dibuat secara bersyarat.
Mengikut kertas pertuduhan, pengutip barang lusuh itu didakwa melakukan pengabaian dengan cara membiarkannya tidur di kaki lima rumah.
Kesalahan tersebut dilakukan di kaki lima rumah flat di Pasir Gudang pada 7 hingga 9 Julai dari jam 10 malam hingga 8 pagi.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Natasha Syed Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Pendakwaan dibuat mengikut mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta yang sama.
Dalam rayuannya, Roslan memaklumkan anak bongsu daripada dua beradik itu telah diberikan kunci rumah dan tidak berada di hadapan rumah pada jam 10 malam selain tidak mendengar katanya.
Hakim menetapkan jaminan RM3,000 serta syarat tambahan tidak mengganggu saksi.
Mahkamah menetapkan 29 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula dan lantikan peguam. - Sinar Harian
#anak tidur di kaki lima #abai anak #Mahkamah Sesyen #Johor Bahru
;