Mahkamah Tinggi tolak saman pemula difailkan penuntut berhubung kesan vaksinasi
Astro Awani
Mei 30, 2022 16:36 MYT
Mei 30, 2022 16:36 MYT
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi pada Isnin menolak saman pemula difailkan 10 mangsa dan waris penuntut yang terkesan akibat pengambilan vaksin COVID-19, sekali gus gagal mendaftarkan award semakan kehakiman yang mereka peroleh daripada Mahkamah Timbang Tara.
Dalam keputusannya, Hakim Datuk Amarjeet Singh, berkata Mahkamah Timbang Tara tiada bidang kuasa untuk mendaftarkan award semakan kehakiman.
Begitupun, hakim mencadangkan pemohon supaya mengemukakan permohonan semakan kehakiman secara terus kepada Mahkamah Tinggi dengan mengikut prosedur yang betul.
Semakan kehakiman itu adalah berkaitan tindakan undang-undang yang akan diambil penuntut di mahkamah sivil bagi mencabar keputusan kerajaan dalam pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Mereka mendakwa, pelaksanaan PICK menyebabkan kematian, kesan advers susulan imunisasi (AEFI) dan diskriminasi terhadap mereka yang menolak suntikan.
Dalam prosiding tersebut, penuntut dan waris mereka diwakili peguam, Mohd Zainuddin Abu Bakar, manakala Peguam Kanan Persekutuan, Zureen Elina Mohd Dom hadir sebagai amicus curiae (sahabat mahkamah).
Terdahulu ketika prosiding, Mohd Zainuddin memberitahu mahkamah, ex-parte award yang diberikan oleh Mahkamah Timbang Tara bagi membolehkan pihaknya mengemukakan permohonan semakan kehakiman.
Pada 25 April lalu, sekumpulan individu mewakili beberapa badan bukan kerajaan (NGO) berhimpun di hadapan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, bagi mendaftarkan merit dan semakan kehakiman untuk menuntut hak rakyat yang terkesan akibat vaksin.
NGO itu termasuk Persatuan Prihatin Anak Jati Johor (PPAJJ), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Pertubuhan Kebajikan Hal Ehwal Islam Malaysia.