Mahkamah Tinggi tolak permohonan MAIS jadi pencelah kes CD 'Kalimah Allah'
Bernama
Mac 13, 2017 22:32 MYT
Mac 13, 2017 22:32 MYT
Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) gagal dalam usahanya untuk menjadi pencelah dalam permohonan dikemukakan seorang wanita untuk diberikan hak menyimpan lapan keping cakera padat (CD) mengandungi kalimah Allah.
Ini susulan keputusan Mahkamah Tinggi di sini, hari ini yang menolak permohonan MAIS itu.
Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili MAIS memberitahu pemberita, Hakim Datuk Nor Bee Ariffin menolak permohonan MAIS selepas mendapati majlis itu tidak mempunyai kepentingan secara langsung untuk mencelah dalam perkara itu.
Katanya hakim yang membuat keputusan itu di dalam kamar, bagaimanapun membenarkan permohonan MAIS untuk bertindak sebagai 'amicus curiae' atau rakan mahkamah dalam permohonan semakan kehakiman itu.
"Ini (amicus curiae) akan membantu berhubung aspek ilmu agama Islam, untuk memberi pandangan tentang penggunaan kalimah Allah," katanya.
Mohamed Haniff berkata mahkamah menetapkan 19 Jun bagi pendengaran merit dalam permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh Jill Ireland Lawrence.
Pada 20 Ogos, 2008, MAIS memohon untuk menjadi pencelah dalam permohonan semakan kehakiman difailkan Jill supaya lapan CD itu dipulangkan kepadanya atas alasan dia berhak menyimpan, menggunakan dan mengimportnya.
Jill menamakan Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan sebagai responden dalam semakan kehakiman itu.
CD berkenaan bertajuk 'Cara Hidup Dalam Kerajaan Allah', 'Hidup Benar Dalam Kerajaan Allah' dan 'Ibadah Yang Benar Dalam Kerajaan Allah', dirampas daripada Jill, daripada suku kaum Melanau dari Sarawak, sebaik tiba di Terminal Penerbangan Tambang Rendah (LCCT) di Sepang pada 11 Mei, 2008.
Pada 21 Julai, 2014, Mahkamah Tinggi memerintahkan CD berkenaan dipulangkan kepadanya tetapi tidak mengeluarkan pengisytiharan seperti dipohonnya, bahawa dia berhak untuk menyimpan, menggunakan dan mengimport CD itu.
Pada 23 Jun, 2015, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan memerintahkan Kementerian Dalam Negeri memulangkan lapan CD itu selepas menolak rayuan kementerian terhadap keputusan Mahkamah Tinggi.
Mahkamah Rayuan memerintahkan kementerian memulangkan CD itu dalam tempoh sebulan dari tarikh keputusan itu.
Panel itu turut memerintahkan Mahkamah Tinggi mendengar permohonan Jill bagi diisytiharkan bahawa dia boleh menyimpan, menggunakan dan mengimport CD itu. -- Bernama