Mahkamah Tinggi tolak permohonan ikat jamin remaja didakwa bunuh bayi
Bernama
Mac 8, 2022 22:02 MYT
Mac 8, 2022 22:02 MYT
KUALA TERENGGANU: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan remaja perempuan yang menghadapi tuduhan membunuh bayi lelaki baru dilahirkannya, untuk dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu perbicaraan kes itu.
Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani membuat keputusan itu selepas mendapati Mahkamah Majistret tidak melakukan kesilapan semasa tidak membenarkan jaminan diberikan terhadap remaja berumur 15 tahun itu.
Beliau bagaimanapun membenarkan permohonan supaya remaja itu menjalani penilaian psikiatri di hospital.
Remaja itu diwakili peguam Ramkarpal Singh, Sangeet Kaur Deo dan Harshaan Zamani manakala Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Fadhli Mahmud bagi pihak pendakwaan.
Remaja itu memfailkan permohonan semakan terhadap keputusan Mahkamah Majistret Kemaman pada 15 Feb lepas yang tidak membenarkannya diikat jamin.
Dia didakwa membunuh bayinya di sebuah rumah di Seri Bandi di Kemaman, antara 7 hingga 9 pagi 8 Feb lepas dan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, pesalah di bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati mengikut Seksyen 97(2) Akta Kanak-Kanak 2001 namun boleh diganti dengan hukuman penjara selama diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan atau Yang Dipertua Negeri mengikut di mana kesalahan itu berlaku.
-- BERNAMA