Mahkamah Tinggi tolak permohonan batal kes rasuah Guan Eng, isteri dan Li Koon

Dewi Nur Harasha Alias
Mei 3, 2024 02:35 MYT
Guan Eng tiba di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang untuk mendengar keputusan berhubung permohonan pembatalan kes rasuahnya pagi Jumaat. - Foto Sinar Harian
GEORGE TOWN: Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menolak permohonan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, isterinya Betty Chew Gek Cheng dan ahli perniagaan Phang Li Koon untuk membatalkan pertuduhan rasuah berkaitan projek asrama pekerja asing bernilai RM11.6 juta.
Keputusan itu dibuat oleh Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Rofiah Mohamad pada pagi Jumaat.
Rofiah berkata perbicaraan kes tersebut akan diteruskan memandangkan terdapat perbezaan ketara dalam kesalahan yang didakwa berlaku melibatkan individu berbeza.
Meskipun sebanyak 25 saksi telah dipanggil namun tiada sebarang dapatan oleh mahkamah berdasarkan keterangan saksi tersebut atau terdapat fakta terbukti melalui perbicaraan tersebut.
Guan Eng diwakili Peguam, R.SN Rayer, Ram Karpal Singh manakala pihak pendakwaan diwakili Syed Faisal Syed Amir,Ashraf Adrin Kamarul dan Shafiq Hasim.
Mahkamah menetapkan 26 Julai depan untuk pengurusan kes.
Guan Eng, Gek Cheng dan Phang menghadapi tuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang mana mereka mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi selepas memindahkan kes dari Mahkamah Sesyen di Butterworth.
Sementara itu, Rayer berkata pihaknya akan membuat rayuan semula berhubung keputusan kes tersebut hari ini.
Guan Eng yang ditemui di luar perkarangan mahkamah berkata, beliau akan terus membersihkan namanya serta isteri menggunakan saluran mahkamah.
#Lim Guan Eng #Mahkamah Tinggi Pulau Pinang #kes rasuag #projek asrama pekerja asing