Mahkamah Tinggi tolak permohonan Abdul Azeez batal tuduhan rasuah, ubah wang haram
Fauzi Suhaimi
Mac 12, 2021 09:57 MYT
Mac 12, 2021 09:57 MYT
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim supaya dibatalkan 13 pertuduhan yang dihadapinya berhubung kes rasuah projek jalan raya di Perak dan Kedah, serta pengubahan wang haram.
Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Muhammad Jamil selepas mendengar hujah Timbalan Pendakwa Raya Aslinda Ahad dan peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili bekas pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) itu.
Muhammad berkata, keputusan itu juga dibuat selepas mendapati kesemua pertuduhan itu tidak cacat dan berlandaskan peruntukan undang-undang.
Selain itu, kata beliau, alasan yang dikemukakan pemohon (Abdul Azeez) adalah defektik, mala fide dan bertentangan dengan polisi awam, selain bermotifkan politik dan tidak berasas.
“Saya mendapati alasan yang dikemukakan pemohon (Abdul Azeez) adalah tidak berasas. Pemohon juga gagal menunjukkan bahawa pendakwaan terhadapnya adalah bersifat mala fide (berniat jahat).
“Pada pandangan saya, kes ini bukan kes yang sesuai dan wajar bagi mahkamah melaksanakan kuasa sedia ada untuk mengetepikan dan membatalkan pertuduhan terhadap pemohon.
"Oleh itu, permohonan pemohon ditolak,” kata Muhammad.
Dalam pada itu, hakim berkata, pertuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dihadapi Abdul Azeez adalah tidak cacat walaupun empat projek berasingan digabungkan dalam satu pertuduhan.
Ini kerana, katanya, suapan yang diterima adalah berkenaan kesemua projek tersebut.
"Ini menunjukkan satu kesalahan menerima suapan yang dilakukan, di mana suapan diterima adalah untuk empat projek tersebut.
"Ia bukan empat kesalahan menerima suapan untuk empat projek berkenaan, (Jadi,) tidak timbul isu duplicity atau multiplicity. Ia bukan kesalahan menerima suapan berasingan dan berlainan bagi setiap satu projek tersebut," Muhammad menjelaskan.
Sehubungan itu, beliau menambah, tiada pelanggaran seksyen 163 Kanun Tatacara Jenayah yang memperuntukkan bahawa bagi setiap kesalahan yang berlainan, pertuduhan berasingan perlu dibuat.
"Pada pandangan saya, pertuduhan pindaan pertama hingga pertuduhan pindaan ke-9 di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) tiada kekaburan," ujarnya.
Ahli Parlimen Baling itu menghadapi tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berkaitan projek jalan raya di Perak dan Kedah dan 10 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan nilai hampir RM140 juta.
Pertuduhan rasuah didakwa dilakukan di Bank CIMB cawangan Menara UAB, Jalan Tun Perak, Kuala Lumpur pada 8 Dis 2010, dan di Affin Bank Berhad, Setiawalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong, Selangor pada 13 Jun 2017 dan 10 Apr 2018.
Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Abdul Azeez didakwa melakukan kesalahan itu di Lembah Klang antara 8 Mac 2010 dan 30 Ogos 2018.
Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009, dibaca bersama Seksyen 16(a)(A) dan Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda.
Pada 23 Feb lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu, tiga pertuduhan rasuah dan 10 pertuduhan pengubahan wang haram yang dihadapi Abdul Azeez adalah cacat, tidak berasas dan dibuat dengan niat jahat atau mala fide.
Peguamnya, Amer Hamzah Arshad dalam hujahannya berkata, pertuduhan pertama di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM adalah cacat kerana ia menggabungkan dan melibatkan empat projek berlainan dalam satu pertuduhan.
#Abdul Azeez Abdul Rahim
#SPRM
#Tabung Haji
#CIMB
#Parlimen
#mahkamah
#politik
#Rasuah
#bank
#haram
#pengubahan wang haram
#kekaburan
#cacat
#gabung empat projek
#Pertuduhan
#suapan
#Tidak Berasas