Mahkamah Tinggi tolak kes mencabar Akta Pencegahan Jenayah
Hamzah Hamid
Disember 11, 2014 19:31 MYT
Disember 11, 2014 19:31 MYT
Hasrat seorang bekas pemandu dari Kota Damansara untuk mencabar Akta Pencegahan Jenayah (PCA) 1959, tidak berhasil apabila hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati bahawa tindakannya itu sebagai satu penyalahgunaan proses mahkamah.
Sureshwaran Rajoo, 25, yang telah dibuang daerah ke Mukim Parit Bakar di Muar, Johor selama tiga tahun, bermula dari 29 Mei dan kini berada di bawah pengawasan polis, menjalani sesi pendengaran diwakili peguamnya, N. Surendran petang tadi.
“Perkara keputusan di bawah PCA hanya boleh dicabar melalui semakan kehakiman di Mahkamah Sivil, secara spesifik di bawah Aturan 53, Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 dan Akta Relif Spesifik 1950.
“Pemohon ini tidak mematuhi Aturan 53 tersebut dan ia adalah satu penyalahgunaan proses,” kata Hakim Kamardin Hashim.
Sesi pendengaran yang berlangsung lebih sejam itu merupakan kes pertama seumpamanya yang mencabar akta itu selepas melalui beberapa pindaan.
Pada 8 Oktober lalu, Sureshwaran memfailkan permohonan pembatalan di Makhamah TInggi, termasuk membatalkan keterangan pegawai penyiasat yang menyatakan dirinya terlibat dengan aktiviti geng.
Surendran memberitahu kepada wartawan di luar kamar mahkamah, isu tersebut adalah berkenaan sama ada individu yang ditahan di bawah akta jenayah seperti PCA perlu merujuk ke Mahkamah Sivil untuk memohon penangguhan sebelum kes dibawa ke peringkat seterusnya.
“Pihak kami mendapati itu ini juga mengenai adakah individu yang ditahan itu perlu terus hadir di Mahkamah Jenayah?
“Isu ini sudah berada di tahap yang menarik perhatian umum. Ada prinsip penting yang terlibat dalam hal ini,” ujarnya.
Dalam hujahnya, Surendran menekankan bahawa memandangkan kes tersebut berkaitan hal jenayah, Aturan 53 dan Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 tidak boleh digunapakai.
“Anak guam saya dan keluarganya berasa kecewa dengan keputusan ini, namun mereka akan segera memfailkan rayuan dan menyusulkan kes ke Mahkamah Rayuan,” ujar Surendran.
Dalam kenyataan sebelum ini, Surendran mendakwa bahawa perintah yang dikenakan ke atas Sureshwaran itu diberi tanpa melalui sesi pendengaran yang adil.