Mahkamah Tinggi semak keputusan kes remaja curi tabung masjid Isnin ini

Bernama
Januari 15, 2022 18:58 MYT
Mahkamah Tinggi akan menyemak keputusan kes seorang remaja lelaki yang dijatuhi hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 kerana cuba mencuri tabung masjid baru-baru ini. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi akan menyemak keputusan kes seorang remaja lelaki yang dijatuhi hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 kerana cuba mencuri tabung masjid baru-baru ini.
Pendengaran semakan terhadap keputusan Mahkamah Majistret Selayang yang menjatuhkan hukuman itu ke atas Daniel Iskandar, 19, ditetapkan pada 17 Jan ini di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata prosiding semakan itu ditetapkan mengikut peruntukan di bawah Bab 31 Kanun Tatacara Jenayah.
Bab 31, antara lain, adalah berkaitan kuasa Hakim untuk memanggil rekod Mahkamah Rendah dan kuasa Hakim untuk semakan.
BACA: Remaja cuba curi tabung masjid dipenjara 10 hari, denda RM4,000
BACA: Remaja dimandikan seperti jenazah lantik peguam - PPMM
Semalam, Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam sidang akhbar berkata hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Rendah boleh disemak oleh Mahkamah Tinggi jika didapati berlebihan atau kurang sesuai mengikut undang-undang sedia ada.
Peguam Muhammad Hariz Md Yusoff, ketika dihubungi, pula berkata permohonan itu akan didengar di hadapan Hakim Datuk Indera Abd Halim Aman pada 9 pagi.
Beliau berkata anak guamnya kini berada di Penjara Kajang dan pihaknya tidak dapat bersemuka dengan remaja itu berikutan prosedur operasi standard yang memerlukan ujian RT-PCR dibuat terlebih dahulu.
"Saya telah pergi ke Penjara Kajang dan hanya berhubung melalui surat bertulis dengan pegawai penjara yang kemudian disampaikan kepada Daniel.
"Berdasarkan rekod penjara, anak guam kami sepatutnya bebas pada Isnin ini namun apabila ada prosiding semakan, dia akan dibawa terlebih dahulu ke Mahkamah Tinggi Shah Alam," katanya.
Khamis lepas, Mahkamah Majistret Selayang menjatuhkan hukuman itu ke atas Daniel selepas remaja tersebut mengaku cuba mencuri tabung masjid pada 8 Jan.
Media sebelum ini melaporkan tular di media sosial video berdurasi satu minit 25 saat yang memaparkan tindakan jemaah sebuah masjid memandikan remaja itu seperti jenazah serta melumurkannya dengan kapur barus kerana mencuri tabung masjid.
-- BERNAMA
#Mahkamah Tinggi #semak keputusan #remaja curi duit tabung masjid #Daniel Iskandar #ppmm
;