Mahkamah Tinggi semak hukuman kes lelaki tetak kepala, tangan peguam

Bernama
Mac 16, 2022 07:49 MYT
Semakan itu dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Prosedur Jenayah (CPC) yang memberi kuasa kepada Mahkamah Tinggi untuk memanggil rekod prosiding mahkamah rendah dan menyemaknya. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini akan menyemak hukuman kes seorang lelaki yang didenda RM5,000 kerana menetak bahagian kepala dan tangan kiri seorang peguam menggunakan parang selepas berang ditegur kerana tidak memakai pelitup muka, baru-baru ini.
Hari ini ditetapkan untuk pendengaran semakan kes itu di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, namun M. Samasiveng, 57, tidak hadir ke mahkamah dan gagal dikesan oleh peguam T.P Aravind Raj, yang sebelum ini mewakili lelaki itu pada prosiding kes di Mahkamah Majistret Selayang.
Semakan itu dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Prosedur Jenayah (CPC) yang memberi kuasa kepada Mahkamah Tinggi untuk memanggil rekod prosiding mahkamah rendah dan menyemaknya.
Aravind, yang hadir pada prosiding hari ini berkata beliau telah cuba menghubungi lelaki itu tetapi panggilannya tidak dijawab malah tidak mendapat arahan sama ada untuk mewakili Samasiveng dalam prosiding semakan ini.
"Saya baru sahaja mendapat notis berhubung perbicaraan semakan ini dan saya akan cuba menghubungi Samasiveng berhubung perkara ini. Mohon maaf atas segala kesulitan," katanya.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Isa Mohamed memaklumkan kepada mahkamah bahawa rayuan berhubung kes tersebut difailkan di mahkamah oleh Pejabat Pendakwaan Negeri Selangor.
Sequerah kemudian mengarahkan pendakwaan membantu pihak polis bagi mengesan lelaki berkenaan dan menetapkan 18 Mac ini untuk pengurusan kes.
Pada 11 Mac lepas, Mahkamah Majistret Selayang menjatuhkan hukuman denda RM5,000 ke atas Samasiveng selepas mengaku bersalah mencederakan Gurcharan Singh, 60, menggunakan sebilah parang yang mungkin menyebabkan kematian terhadap mangsa di sebuah pasar raya di Taman Bersatu Rawang, Gombak pada 9 Mac lepas.
Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu dipenjara 11 bulan jika dia gagal membayar denda tersebut. Dia membayar denda itu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu.
-- BERNAMA
#tetak kepala #tetak tangan peguam #pelitup muka #Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur