Mahkamah Tinggi perintah TV3 bayar Nizar ganti rugi RM200,000
Bernama
Julai 14, 2016 14:12 MYT
Julai 14, 2016 14:12 MYT
Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) membayar ganti rugi RM200,000 kepada bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berhubung kenyataannya mengenai nombor pendaftaran kereta "WWW1" yang disiarkan dalam berita Buletin Utama, 30 Mei 2012.
Timbalan Pendaftar Hanie Dzatul Akhmar Zulkefli membuat perintah itu di dalam kamarnya yang dihadiri peguam Mohd Fitri Asmuni mewakili Mohammad Nizar dan peguam Lim Qi Si mewakili TV3.
Mohd Fitri memberitahu pemberita bahawa mahkamah memerintahkan TV3 membayar jumlah itu berdasarkan latar belakang Mohammad Nizar ketika itu sebagai Menteri Besar dan juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.
Katanya mahkamah juga mendapati TV3 gagal mengamalkan kewartawanan bertanggungjawab dalam menyiarkan berita berkenaan dan bersungguh-sungguh mempertahankan fitnah itu.
Mahkamah membuat keputusan itu selepas mendengar keterangan semasa taksiran ganti rugi setelah Mohammad Nizar memenangi kes samannya terhadap syarikat televisyen itu.
Pada 24 Feb lepas, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa tiada unsur berat sebelah kehakiman dalam keputusan Mahkamah Rayuan yang mendapati TV3 bertanggungjawab memfitnah Mohammad Nizar.
Mohammad Nizar telah memfailkan saman fitnah RM50 juta terhadap stesen televisyen itu berkaitan komen beliau mengenai nombor pendaftaran kereta "WWW1", yang berjaya dibida dengan harga RM520,000 oleh Sultan Johor pada Mei 2012.
Mohammad Nizar menyaman TV3 dan Penerbit Buletin Utama, Rohani Ngah. Pada 12 April 2013, Mahkamah Tinggi menolak saman fitnah anggota Parlimen Bukit Gantang dan bekas anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang itu yang kemudian membawa kes itu ke Mahkamah Rayuan dan keputusan memihak kepada Mohammad Nizar.
Pada 25 Feb 2014 Mahkamah Rayuan mengembalikan kes itu ke Mahkamah Tinggi untuk penaksiran ganti rugi.
Sementara itu peguam Lim memaklumkan bahawa pihaknya akan mendapatkan arahan daripada anak guamnya sama ada untuk memfailkan rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Rayuan.
#Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin
#Mahkamah Tinggi
#nombor pendaftaran kereta
#Sistem Televisyen Malaysia Berhad
#tv3