Mahkamah Tinggi perintah Papagomo masukkan kehadiran dalam kes saman Fahmi Fadzil
Bernama
November 21, 2023 16:27 MYT
November 21, 2023 16:27 MYT
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai "Papagomo" memasukkan kehadiran dalam kes saman Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil terhadap blogger itu dalam tempoh 14 hari bermula hari ini.
Saman itu difailkan Fahmi pada 5 Sept lepas, berhubung dakwaan kononnya Ahli Parlimen Lembah Pantai itu memberikan ceramah politik di sebuah masjid di Rawang, Selangor.
Dalam kes saman, individu yang disaman atau defendan dikehendaki memasukkan kehadiran sama ada secara sendiri atau melalui peguam sekiranya berhasrat untuk membela diri terhadap tindakan saman itu.
Peguam Asheeq Ali Sethi Alivi mewakili Fahmi berkata pada prosiding pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Aisyaf Falina Abdullah secara dalam talian hari ini, mahkamah memerintahkan Wan Muhammad Azri memasukkan kehadiran sehingga 5 Dis ini.
"Pada 6 Nov lepas, mahkamah memutuskan supaya plaintif (Fahmi) menyerahkan saman itu menerusi pemakluman penyampaian ganti di dalam akhbar kerana saman tersebut gagal diserahkan kepada defendan (Wan Muhammad Azri). Notis tersebut telah diterbitkan dalam surat khabar The Star hari ini," katanya ketika dihubungi.
Menurut Asheeq Ali, mahkamah menetapkan pengurusan kes pada 8 Dis ini untuk pihak plaintif memaklumkan kepada mahkamah sama ada defendan telah memasukkan kehadiran atau sebaliknya.
Sementara itu, Fahmi dalam hantaran Facebooknya hari ini berkata peguamnya telah cuba menghubungi Wan Muhammad Azri sejak beberapa bulan lepas.
"Ini berkait kenyataan fitnah yang dibuat individu tersebut (Wan Muhammad Azri) terhadap saya sebelum Pilihan Raya Negeri Ogos lalu," katanya.
Selain Wan Muhammad Azri, Fahmi juga menfailkan saman terhadap penceramah bebas Ahmad Dusuki Abd Rani serta pemilik akaun Facebook "N13 Kuang", Mohd Fauzan Madzlan berhubung isu sama.
Berdasarkan pernyataan tuntutan, Fahmi mendakwa ketiga-tiga defendan telah menyiarkan kata-kata fitnah yang mendakwanya menyalahgunakan tempat beribadah iaitu masjid bagi tujuan kempen pilihan raya dan bertindak bertentangan dengan titah dan perintah Sultan Selangor.
Fahmi mendakwa kata-kata fitnah itu disiarkan di akaun TikTok dan Facebook Wan Muhammad Azri pada 1 Ogos, manakala di akaun Facebook milik Mohd Fauzan serta akaun Facebook dan Instagram milik Ahmad Dusuki pada 31 Julai lepas.
Menurut Fahmi, kenyataan fitnah itu tidak berasas dan pihak Majlis Agama Islam Selangor telah mengesahkan bahawa beliau sama sekali tidak memberikan ucapan berbaur politik seperti mana yang difitnah oleh defendan.
Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am, teruk atau teladan, dan perintah injunksi bagi menghalang kesemua defendan daripada mengulangi atau menyebabkan penerbitan semula kenyataan fitnah itu.
-- BERNAMA