Mahkamah Tinggi Kuching tolak permohonan Petronas ketepikan hakim

Rudi Affendi Khalik
Januari 23, 2020 12:29 MYT
Hasidah (tengah) dan Sebastian meneliti dokumen mahkamah di Mahkamah Tinggi Kuching pada Selasa.
Pesuruhjaya Kehakiman, Christopher Chin Soo Yin kekal sebagai hakim bagi kes saman Kerajaan Sarawak terhadap Petronas.
Ia selepas permohonan 'Recusal of Judge' yang difailkan Petronas pada 20 Disember tahun lalu ditolak Mahkamah Tinggi Kuching, pada Khamis.
Hadir bagi prosiding itu, pihak pembelaan diwakili Datuk Malik Imtiaz Sarwar manakala Kerajaan Sarawak diwakili Peguam Besar Negeri, Datuk Talat Mahmood Abdul Rashid dan Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Seri J.C Fong.
Hadir sama Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Negeri-Pusat dan Pemantauan Projek, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Sebastian Ting.
Pada 14 Januari lalu, pasukan pembelaan memfailkan permohonan agar kes dipindahkan ke Mahkamah Persekutuan atas alasan komptroler cukai jualan negeri tiada kuasa , selain memohon untuk menghalang Christopher menghakimi prosiding tersebut, atas alasan beliau adalah dari Sabah dan yang memiliki kepentingan dalam kes tersebut.
Petronas akan mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan pada 5 Februari ini.
Sementara itu, Christopher dalam kenyataannya hari ini enggan tunduk dengan permohonan Petronas agar beliau menarik diri daripada menghakimi kes tersebut.
“Tidak ada kemungkinan nyata kecenderungan berat sebelah dirasakan oleh pemerhati yang berfikiran adil yang mempunyai pengetahuan fakta dan saya menolak permohonan defendan untuk menarik saya di bawah Lampiran 18.
“Permohonan itu walaupun dengan niat baik, ia adalah penghinaan kepada Badan Kehakiman di Malaysia serta remeh dan tanpa alasan,” kata Christopher.
#cukai #kerajaan #Mahkamah Tinggi KUching #Petronas #saman #Sarawak saman petronas #Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali
;