Mahkamah Tinggi khilaf, gagal pertimbang pembelaan Syed Saddiq - Peguam
Yasmin Natasha
Mac 19, 2025 15:32 MYT
Mac 19, 2025 15:32 MYT
Pembelaan Syed Saddiq menegaskan bahawa beliau tidak pernah mengarahkan bekas Penolong Bendahari Armada dan bekas Penolong Setiausaha Armada, Ahmad Redzuan Mohamed Shafi, untuk mengeluarkan RM1 juta daripada akaun rasmi Armada. - Foto Astro AWANI
PUTRAJAYA: Mahkamah Tinggi tersilap apabila tidak meneliti bahawa pembelaan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, bukan sekadar penafian semata-mata dan keadaan ini menyebabkan beliau tidak mendapat keadilan, menurut hujahan peguamnya, Datuk Hisyam Teh Poh Teik.
Menurut peguam senior itu, pembelaan Syed Saddiq menegaskan bahawa beliau tidak pernah mengarahkan bekas Penolong Bendahari Armada, Rafiq Hakim Razali, dan bekas Penolong Setiausaha Armada, Ahmad Redzuan Mohamed Shafi, untuk mengeluarkan RM1 juta daripada akaun rasmi Armada.
Hisyam berhujah bahawa hakim bicara gagal mempertimbangkan pembelaan anak guamnya, yang bukan sekadar penafian tetapi turut disertakan dengan penjelasan yang menyanggah dakwaan pendakwaan.
Beliau menambah bahawa adalah satu kesilapan bagi hakim bicara untuk menolak pembelaan tersebut hanya berdasarkan ketidakpercayaan semata-mata.
Bagi tuduhan pertama, Syed Saddiq telah memanggil bekas Ketua Penerangan Armada, Ulya Aqamah Husamudin, sebagai saksi pembelaan ketiga untuk mencabar naratif pendakwaan.
“Dalam hal ini, kegagalan hakim bicara untuk menilai pembelaan telah menyebabkan pelanggaran Seksyen 182A Kanun Tatacara Jenayah.
“Hak perayu untuk mendapatkan perbicaraan yang adil telah terjejas teruk kerana kegagalan mahkamah menimbangkan pelbagai hujahan serius yang dikemukakan di akhir kes pembelaan.
“Kegagalan ini memberi kesan buruk kepada perayu,” katanya.
Hisyam menjelaskan bahawa pembelaan Syed Saddiq berkisar pada mesyuarat kepimpinan G5 pada awal Mac 2020, di mana mereka membincangkan keperluan mengeluarkan dana daripada akaun rasmi Armada untuk tujuan bantuan COVID-19 serta kebajikan menjelang Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri 2020 sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula.
Menurutnya, kepimpinan G5 kemudiannya mengarahkan Rafiq Hakim untuk berbincang dengan Exco Armada mengenai jumlah dana yang diperlukan bagi tujuan tersebut.
Syed Saddiq turut memberi keterangan bahawa sepanjang lima tahun bersama Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, beliau tidak pernah dipanggil untuk meluluskan dana melebihi RM500,000.
Beliau menegaskan bahawa tiada sebab untuk mempercayai kelulusan MPT sebagai satu prasyarat.
“Perayu juga menyatakan bahawa tidak pernah ada keperluan menyediakan kertas kerja bagi kelulusan dana melebihi RM500,000 oleh Exco Armada.
“Secara keseluruhannya, perayu tidak terlibat dalam sebarang perbuatan bersubahat dalam kes ini. Beliau juga memanggil Ulya Aqamah sebagai saksi yang mengesahkan kes pembelaannya dalam semua aspek,” katanya.
Hisyam mengemukakan hujahan ini dalam prosiding rayuan Syed Saddiq terhadap sabitan dan hukuman melibatkan empat pertuduhan berkaitan dana Armada.
Syed Saddiq, 32, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 November 2023, yang menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan, serta denda RM10 juta selepas beliau didapati bersalah atas empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta, dan pengubahan wang haram.
Prosiding rayuan ini berlangsung di hadapan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, bersama-sama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin.
Perbicaraan akan bersambung esok.