Mahkamah Tinggi gugur dakwaan kerajaan Malaysia terhadap Bersih 2.0

Astro Awani
Januari 30, 2015 13:02 MYT
Mariah Chin Abdullah (kanan) bersama peguamnya. Mahkamah Tinggi hari ini telah mengugurkan saman kerajaan persekutuan ke atas Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) - Gambar Twitter @honeyean
Mahkamah Tinggi hari ini mengugurkan saman Kerajaan Persekutuan terhadap Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) atas dakwaan menyebabkan kerosakan pada satu perhimpunan di Kuala Lumpur tiga tahun lalu.
Dalam penghakimannya, hakim Datuk John Louis O'Hara berkata Putrajaya gagal membuktikan pihak defendan bertanggungjawab sepenuhnya atas kerosakan yang berlaku.
"Plaintif (kerajaan) mendakwa defendan gagal untuk menjalankan tanggungjawab mereka apabila perhimpunan bertukar menjadi rusuhan dan menyebabkan kerosakan kepada kenderaan, kebanyakannya kepunyaan pihak polis dan menuntut pembaikan kos berjumlah RM122,000," kata mahkamah sepertimana dipetik portal berita The Malaysian Insider.
Malah, menurutnya, tindakan polis sendiri telah menyebabkan kerosakan itu berlaku, lapor Malay Mail Online.
Barisan peguam yang mewakili Bersih di Mahkamah Tinggi hari ini. -Twitter/@honeyean
Kerajaan sebelum ini memfailkan saman pada 15 Mei 2012 terhadap 10 defendan, iaitu Ambiga, Maria Chin Abdullah, Zaid Kamarudin, K. Arumugam, S. Arul Prakkash, Wong Chin Huat, Dr Ahmad Farouk Musa, Toh Kin Woon, Andrew Khoo dan Haris Fathillah Mohamed.
Bagaimanapun, pada 10 Ogos, ia menggugurkan nama Haris Fathillah Mohamed atas alasan dia bukan anggota jawatankuasa pemandu Bersih 2.0.
Pada 18 September 2012, O'Hara membenarkan enam lagi anggota jawatankuasa pemandu Bersih 2.0 untuk menjadi pencelah dalam saman itu.
Dalam pernyataan tuntutannya, kerajaan selaku plaintif berkata, pihak penganjur berhimpun di persekitaran Dataran Merdeka yang dipasang halangan dan sekatan polis, tetapi rempuhan peserta perhimpunan menyebabkan berlakunya kerosakan.
Kerajaan menuntut pampasan khas berjumlah RM122,000 sebagai kos untuk memperbaiki kerosakan kenderaan polis, kos-kos lain, faedah dan lain-lain relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Ia juga menuntut pengisytiharan bahawa defendan-defendan, sebagai penganjur perhimpunan Bersih 3.0, telah melanggar Seksyen 6 (2)(g) Akta Perhimpunan Aman 2012, dan mereka bertanggungjawab antara lain, memastikan perhimpunan itu tidak akan merosakkan harta benda awam.
Dalam pernyataan tuntutan itu, kerajaan juga menyebut perhimpunan sekitar Dataran Merdeka menjadi tidak terkawal apabila para peserta merempuh halangan polis.
#Ambiga #ANDREW KHOO #Bersih #dr ahmad farouk musa #Haris Fathillah Mohamed. #K. Arumugam #mahkamah #Maria Chin Abdullah #S. Arul Prakkash #Toh Kin Woon #Wong Chin Huat #Zaid Kamarudin
;