Mahkamah Tinggi batalkan cadangan denda RM86.77 juta MyCC kenakan terhadap Grab

Bernama
Julai 6, 2023 20:33 MYT
Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh turut memerintahkan suruhanjaya tersebut membayar kos RM20,000 kepada ketiga-tiga syarikat tersebut. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membatalkan cadangan denda Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sebanyak RM86.77 juta terhadap Grab Inc dan dua anak syarikatnya berhubung amalan antipersaingan syarikat perkhidmatan e-hailing itu.
Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh semasa membenarkan semakan kehakiman oleh Grab Inc, Grabcar Sdn Bhd dan Myteksi Sdn Bhd itu turut memerintahkan suruhanjaya tersebut membayar kos RM20,000 kepada ketiga-tiga syarikat tersebut.
Dalam penghakimannya, hakim itu berkata keputusan MyCC di sebalik denda itu dicemari oleh ketidakwajaran prosedur dan denda yang dicadangkan oleh pengawal selia persaingan tidak disokong oleh proses penyiasatan yang sewajarnya.
Hakim juga menyatakan bahawa walaupun denda yang dicadangkan itu adalah berdasarkan aduan pada 2019 yang dikemukakan kepada MyCC oleh seorang pemandu Grab berhubung dakwaan amalan antipersaingan syarikat, pengawal selia itu sebaliknya bergantung pada aduan 2018 berhubung syarikat yang dikatakan melanggar Akta Persaingan 2010.
"Saya tidak boleh menerima dakwaan MyCC bahawa semakan kehakiman boleh menghalang penyiasatan pengawal selia terhadap amalan antipersaingan," kata hakim.
Wan Ahmad Farid berkata denda yang dicadangkan itu adalah keputusan pihak berkuasa awam yang masih boleh menjadi subjek cabaran undang-undang melalui semakan kehakiman.
Mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan permohonan Grab untuk ganti rugi terhadap MyCC memandangkan tiada unsur niat jahat di sebalik keputusan pengawal selia itu untuk denda yang dicadangkan tersebut.
Pada Disember 2019, ketiga-tiga syarikat itu memfailkan tindakan undang-undang untuk mencabar cadangan denda MyCC sebanyak RM86.77 juta terhadap mereka kerana melanggar Akta Persaingan 2010 melalui klausa sekatan yang didakwa dikenakan ke atas pemandunya.
Bagaimanapun, pada Februari 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan ketiga-tiga mereka kerana menganggap langkah itu pramatang memandangkan keputusan yang dicadangkan itu belum muktamad.
Semasa rayuan, Mahkamah Rayuan, pada 19 April 2021, memberikan kebenaran kepada ketiga-tiga syarikat itu untuk memulakan semakan kehakiman dan ini mendorong MyCC memfailkan permohonan di Mahkamah Persekutuan untuk kebenaran merayu.
Bagaimanapun, tahun lepas, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan MyCC untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan.
Perbicaraan permohonan semakan kehakiman yang dikemukakan ketiga-tiga syarikat itu didengar tahun lepas oleh Mahkamah Tinggi atas meritnya.
-- BERNAMA
#Mahkamah Tinggi #MyCC #grab #denda
;