Mahkamah Tinggi arah dua syarikat keluar dari tanah adat Orang Asli

Bernama
September 9, 2024 19:01 MYT
Masyarakat Orang Asli Ulu Geruntum meraikan keputusan mahkamah hari ini, di mana Mahkamah Tinggi hari ini. - Foto Bernama
IPOH: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan dua syarikat yang terlibat dengan projek pembinaan empangan hidroelektrik mini di Ulu Geruntum, Gopeng supaya keluar dari tanah adat Orang Asli itu serta-merta dan menghentikan pembinaan projek berkenaan.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet turut memerintahkan Perak Hydro Renewable Energy Corporation Sdn Bhd dan Conso Hydro R E Sdn Bhd membawa keluar peralatan projek dari kawasan berkenaan.
Bagaimanapun, mahkamah memberikan kedua-dua syarikat berkenaan perintah penggantungan interim (interim stay) selama 30 hari untuk membawa keluar barangan mereka seperti paip besar dari kawasan itu.
Mahkamah juga memerintahkan supaya pampasan nominal sebanyak RM10,000 untuk tapak-tapak kubur yang musnah, serta RM10,000 lagi bagi pokok yang musnah perlu dibayar kepada plaintif (Orang Asli Ulu Geruntum).
Hakim Bhupindar Singh turut memerintahkan sejumlah kos RM75,000 dibayar iaitu kedua-dua syarikat itu perlu membayar kos sebanyak RM25,000 sebagai defendan pertama dan kedua, RM25,000 lagi oleh kerajaan negeri Perak serta Pengarah Tanah dan Galian Perak (defendan ketiga dan kelima) dan RM25,000 lagi oleh Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli serta kerajaan Malaysia (defendan keempat dan keenam).
Ketika prosiding, Hakim Bhupindar Singh berkata Orang Asli terbabit berhak untuk melindungi tanah adat mereka yang perlu digazetkan oleh kerajaan negeri dan kedua-dua pihak itu perlulah bekerjasama.
Menurut Hakim Bhupindar Singh, kerajaan Perak, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli, Pengarah Tanah dan Galian Perak serta kerajaan Malaysia gagal melaksanakan tugas mereka menghalang pencerobohan terhadap tanah adat itu.
Pada prosiding hari ini, peguam Vinu Kamalananthan, Conrad Lopez dan Sarah Tiong Wei Shin mewakili Orang Asli manakala Goik Kenzin, Ramesh Sivakumar dan Calvin Lim mewakili syarikat berkenaan.
Ramesh ketika prosiding berkata anak guamnya akan membuat rayuan terhadap keputusan itu.
Vinu ketika ditemui di luar mahkamah berkata keputusan hari ini merupakan keputusan yang penting dan bermakna bagi Orang Asli dan menguatkan lagi perjuangan komuniti itu selama ini, iaitu kawasan Ulu Geruntum ialah tanah adat mereka.
"Keputusan hari ini mengakui fakta itu, bahawa tiada pertikaian kawasan berkenaan merupakan tanah adat Orang Asli. Jadi, saya rasa selepas enam tahun bersusah payah, saya rasa kita perlu berterima kasih kepada ramai pihak termasuk Tok Batin yang bersatu di sana untuk menyokong perjuangan ini," kata Vinu.
Pada 2018, media melaporkan 22 penempatan Orang Asli dari Ulu Geruntum mengemukakan saman dengan menamakan dua syarikat swasta, kerajaan Perak, Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli, Pejabat Tanah dan Galian Perak dan kerajaan Persekutuan sebagai defendan.
Kumpulan itu yang terdiri daripada suku Semai berasal dari enam kampung di kawasan Ulu Geruntum iaitu Kampung Sungai Kapor, Kampung Sat, Kampung Ulu Kepayang, Kampung Empang Main, Kampung Poh serta Kampung Ulu Geruntum; mahu kerja membina empangan dihentikan kerana ia melanggar hak masyarakat mereka terhadap tanah nenek moyang yang didakwa dibersihkan tanpa kebenaran.
Kedua-dua syarikat itu memulakan projek di Sungai Geruntum pada 2012 dan kumpulan Orang Asli mendakwa projek tersebut memusnahkan ladang pokok buah-buahan serta kira-kira 50 kubur nenek moyang tanpa kebenaran suku Semai di Ulu Geruntum, selain mendakwa sumber air turut tercemar.
Pada 13 Sept tahun lepas, media melaporkan Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan satu suku kaum Orang Asli untuk menangguhkan pembinaan empangan hidroelektrik oleh dua syarikat di Gopeng di tanah yang didakwa mereka merupakan tanah nenek moyang.
-- BERNAMA
#keluar dari tanah adat Orang Asli #projek pembinaan empangan hidroelektrik mini #Ulu Geruntum #Gopeng #menghentikan pembinaan projek #Perak Hydro Renewable Energy Corporation #Conso Hydro R E
;