Mahkamah tetapkan 2 Oktober sebagai tarikh perbicaraan kes bunuh Jong Nam
Israr Khalid
Julai 28, 2017 11:24 MYT
Julai 28, 2017 11:24 MYT
Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menetapkan 2 Oktober depan sebagai tarikh perbicaraan kes pembunuhan warga Korea Utara, Kim Jong-nam.
Hakim Datuk Azmi Ariffin menetapkan perbicaraan akan berlangsung selama 23 hari sehingga 30 November selepas membenarkan permohonan kedua-dua pihak ketika kes ditetapkan untuk sebutan semula.
Kira-kira 50 petugas media tempatan dan luar negara mula hadir di perkarangan Bangunan Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SAAS) seawal jam 6 pagi dan hanya dibenarkan masuk pada jam 7.50 pagi.
Tertuduh warga Vietnam, Duan Thi Huong, 29, terlebih dahulu tiba dengan berbaju kurung berwarna kuning dan dipakaikan jaket kalis peluru, dikawal ketat pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC).
Begitu juga dengan tertuduh warga Indonesia, Siti Aisyah, 25, juga berbaju kurung warna biru berjaket kevlar yang tiba dengan konvoi pacuan empat roda berasingan beberapa minit selepas itu.
33 dokumen diserahkan semasa sesi pengurusan kes, menjadikan jumlah keseluruhan dokumen dikumpulkan kepada 77.
Turut diserahkan adalah 26 keping cakera padat, dimana 24 daripadanya merupakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari lokasi kejadian iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Iskandar Ahmad membuat permohonan mengikut Seksyen 107 Acara Jenayah supaya kedua-dua tertuduh dibicarakan bersama kerana membabitkan transaksi sama, yang kemudian dibenarkan mahkamah.
Muhammad Iskandar turut memaklumkan pihaknya akan memanggil 30 hingga 40 orang saksi termasuk 10 saksi pakar untuk memberi keterangan, bergantung kepada perkembangan perbicaraan.
1 Mac lalu, Siti Aisyah dan Doan dihadapkan di Mahkamah Majistret atas tuduhan membunuh Jong Nam bersama-sama empat lagi individu yang masih bebas.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Balai Pelepasan (KLIA2) pada kira-kira 9 pagi, 13 Febuari lalu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Tiada pengakuan direkodkan.
Jong Nam ketika itu sedang menunggu penerbangan ke Macau sebelum dihampiri dua wanita warga asing yang menekup mukanya dengan agen saraf VX.
Jong Nam yang menggunakan pasport dengan nama Kim Chol, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.