Mahkamah tetap 1 Ogos permohonan jaminan kes pegawai kanan polis bunuh pelajar
Abd Razak Mohd Ali
Julai 1, 2024 11:45 MYT
Julai 1, 2024 11:45 MYT
IPOH: Mahkamah Tinggi Ipoh pada Isnin menetapkan 1 Ogos depan untuk menentukan tarikh pendengaran permohonan jaminan terhadap seorang pegawai kanan polis yang didakwa membunuh seorang pelajar Tingkatan Lima, Disember tahun lalu.
Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet mengarahkan kedua-dua pihak pendakwa raya dan peguam bela untuk memfailkan hujahan bertulis dan hujahan balas masing-masing.
Menurutnya, pada sebutan semula kes 1 Ogos depan, barulah mahkamah akan menetapkan tarikh perbicaraan untuk mendengar permohonan jaminan tersebut.
Pada 14 Mei lalu, Hakim Bhupindar Singh menetapkan hari ini untuk mendengar permohonan jaminan terhadap tertuduh.
Mahkamah turut menetapkan 30 hari untuk perbicaraan kes berkenaan yang bermula 4 November 2024 hingga 17 Januari 2025.
Mohd Nazri Abdul Razak, 45, pegawai berpangkat Deputi Superintendan Polis (DSP) didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Taman Jati 1, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Jati, Ipoh, antara jam 12.05 tengah hari hingga jam 12.40 tengah hari, 15 Disember lalu.
Pendakwaan dilakukan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun.
Jika tidak dijatuhi hukuman mati, hendaklah juga disebat tidak kurang 12 sebatan.
Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz, Nasrul Hadi Abdul Ghani, Geetha Jora Singh, Low Qin Hui manakala tertuduh diwakili peguam, Jacky Loi Yap Loong, Lim Chi Chau dan Lim Jin Wen
Hadir sama peguam pemerhati bagi pihak keluarga mangsa, Yasmin Khalid.