Mahkamah terima audio "Can I advise you on something" sebagai bukti
Astro Awani
Februari 18, 2021 16:29 MYT
Februari 18, 2021 16:29 MYT
KUALA LUMPUR: Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan menerima rakaman audio “Can I advise you on something” untuk menjadi bukti dalam pertuduhan rasuah membabitkan Datin Seri Rosmah Mansor.
Rakaman audio yang dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu dipercayai sebagai sebahagian daripada perbualan antara Rosmah dan suaminya, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Mohamed Zaini membuat ketetapan berhubung penerimaan audio berkenaan untuk menjadi bukti dan menandakannya sebagai IDP36 manakala transkripnya pula ditanda sebagai IDP163.
Rakaman itu dimainkan pihak pendakwaan dalam perbicaraan ketika bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid memberi keterangan.
Hakim selepas itu memerintahkan Rosmah untuk membela diri atas tiga pertuduhan rasuah yang dikenakan terhadapnya.
Rosmah berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Saidi Abang Samsudin.
Bela Diri | Rosmah kecewa dengan keputusan mahkamah
Keputusan itu dibuat selepas hakim mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan wujudnya prima facie dalam kes tersebut.
Sementara itu peguam yang mewakili Rosmah, Datuk Jagjit Singh memaklumkan anak guamnya kecewa dengan keputusan mahkamah pada Khamis.
“Dia (Rosmah) tidak bercakap, emosi dia terganggu dan dia agak kecewa.
“Kami minta Rosmah untuk pulang ke rumah untuk kurangkan stres,” katanya lagi.
Mahkamah menetapkan 9, 10, 15, 16, 17, 22 dan 23 Jun serta 12 dan 15 Julai untuk sesi pembelaaan kes berkenaan.
[TERKINI] Mahkamah arah Rosmah Mansor bela diri
#Rosmah Mansor
#Rasuah
#bela diri
#Najib Razak
#Mahdzir Khalid
#SPRM
#Perdana Menteri
#mahkamah
#menteri
#isteri bekas PM
#advise
#audio
#rakaman