"Mahkamah tempat terbaik mencari kebenaran" - Ebit Lew
Alexion Mairin
September 30, 2022 16:34 MYT
September 30, 2022 16:34 MYT
TENOM: Pendakwah terkenal, Ebit Lew menyifatkan mahkamah merupakan tempat terbaik mencari kebenaran berkaitan kes gangguan seksual yang melibatkan dirinya ketika ini.
Menurut Ebit, setiap pertuduhan yang melibatkannya perlu ditampilkan dengan bukti dan mahkamah akan memutuskan kebenarannya.
Dalam masa sama, Ebit atau nama sebenarnya, Ebit Irawan Ibrahim, 37, menyatakan rasa syukur kerana perbicaraan yang berlangsung selama empat hari itu merupakan hari yang dinantikannya sejak setahun yang lalu.
“Syukur Alhamdulillah sampai ke mahkamah ini supaya mudah-mudahan dapat tahu kebenaran yang sebenarnya. Mahkamah tempat yang paling tak boleh cakap apa sahaja setiap (dakwaan) kena ada bukti, kalau tak ada bukti pasti akan ditolak, mahkamahlah untuk benda-benda (mencari kebenaran) begitu,” kata Ebit.
Ebit berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Majistret Tenom, di sini, pada Jumaat.
Ditanya sama ada beliau bersedia menghadapi perbicaraan seterusnya yang dijadualkan pada 20 sehingga 22 Disember depan, ini reaksi Ebit: “Ikut hati saya ada rasa sedih juga sebab kena menanti lagi, kalau boleh saya nak teruskan Sabtu, esok saja sampai habis tapi bukan saya menentukan.
“Peguam kami tadi, Ram dan lain-lain minta tarikh paling awal November dan pendakwa raya tidak dapat (beri) tarikh itu, tarikh mereka penuh sebab pendakwa raya dari Putrajaya jadi kami setuju (secara) bersama (perbicaraan disambung) Disember.
Sebelum itu, perbicaraan yang berlangsung bermula Selasa lalu hingga hari ini setakat ini telah memanggil tiga saksi daripada pihak pendakwaan termasuk seorang daripadanya pendakwah bebas, Firdaus Wong.
Mahkamah juga pada sesi terakhir menetapkan tarikh baharu 20 hingga 22 Disember depan bagi meneruskan perbicaraan berkaitan kes yang dihadapinya.
Ebit pada 18 Februari lalu didakwa atas 11 pertuduhan melibatkan hantaran gambar serta perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seseorang melalui aplikasi Whatsapp mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
Beliau yang juga seorang usahawan diwakili pasukan peguam yang terdiri daripada Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki, Timothy Daut, Kimberly Ye Wanchuin dan Chen Wen Jye manakala Majistret ialah Nur Asyraf Zolhani.
Sementara pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, Muhammad Ilmami Ahmad, Zahida, Adibah Saiful Bahri dan Nur Masrin Amalia.