Mahkamah Syariah: PN tubuh jawatankuasa khas untuk beri cadangan - Muhyiddin

Ridauddin Daud
Februari 15, 2024 14:45 MYT
Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi PN berlangsung pada Khamis.
KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) akan menganjurkan Persidangan Meja Bulat dan mewujudkan Jawatankuasa Khas Teknikal dan Dokumentasi Undang-Undang susulan keputusan Mahkamah Persekutuan membabitkan Enakmen Jenayah Syariah Negeri Kelantan baru-baru ini.
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, usaha itu dilakukan bagi mencadangkan tindakan susulan untuk memperkasakan kedudukan perundangan syariah dan memelihara kepentingan umat Islam.
Menurutnya, keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi parti pada Khamis dengan Datuk Idris Ahmad akan mengetuai persidangan dan jawatankuasa pula dipengerusikan Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Menerusi satu kenyataan pada Khamis, Muhyiddin menegaskan PN memandang serius keputusan tersebut dan mendakwa ia akan memberi kesan besar terhadap kedudukan dan skop undang-undang syariah di Malaysia.
“Persidangan Meja Bulat dan Jawatankuasa Teknikal ini akan melibatkan penyertaan pakar-pakar perlembagaan dan perundangan Islam, para ulama, ilmuan Islam dan pemegang taruh yang berkaitan,” katanya dalam kenyataan itu.
Sementara itu, Muhyiddin memaklumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labu, Mohamad Hanifah Abu Baker dilantik Pengerusi Badan Perhubungan PN Negeri Sembilan, menggantikan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang memegang jawatan itu sejak 2 Jun 2023.
Katanya, pelantikan itu berkuat kuasa pada 12 Februari 2024.
“Majlis Tertinggi Perikatan Nasional mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan menzahirkan penghargaan kepada Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di atas sumbangan dan jasa bakti yang telah dicurahkan sepanjang memikul amanah sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Perikatan Nasional Negeri Sembilan sebelum ini,” ujarnya.
#mahkamah syariah #Mahkamah Persekutuan #Muhyiddin Yassin #PN
;