Mahkamah Syariah perlu kaji hukuman khidmat komuniti bagi pesalah kesalahan ringan - Agong
Fareez Azman
September 5, 2022 13:25 MYT
September 5, 2022 13:25 MYT
KUANTAN: Mahkamah Syariah diminta untuk mengkaji pelaksanaan hukuman berbentuk perkhidmatan komuniti bagi kesalahan tidak begitu besar dilakukan pesalah.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, Mahkamah Syariah juga perlu menggunakan budi bicara dalam menghukum pesalah agar tiada penindasan berlaku.
"Saya minta pihak Hakim-Hakim perlu mendalami dan mengkaji supaya hukuman berbentuk perkhidmatan kemasyarakatan.
"Ini perlu diambil kira kerana kadang kala ada kesalahan tidak begitu besar harus memikirkan supaya mereka berbakti kepada masyarakat
"Sekurang-kurangnya, kita tidak nampak ada penindasan kepada mereka bermasalah yang boleh kita selesaikan secara budi bicara," titah baginda.
Titah baginda lagi, Mahkamah Syariah juga perlu bijak berlaku adil dan menggunakan kuasa budi bicara dalam menjatuhkan hukuman terutama dalam kes kekeluargaan.
"Hakim-hakim Syarie hendaklah memastikan kes-kes yang dikendalikan dapat dihakim dengan seadil-adilnya dan penghakiman dapat dilaksanakan dengan segera.
"Para pegawai mahkamah dan peguam Syarie turut bertanggungjawab secara kolektif untuk menentukan prosiding mahkamah berjalan lancar. Hakikatnya, roh keadilan yang dituntut oleh Islam wajib dihayati dan ditaati," titah baginda lagi.
Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah turut bertitah agar kes-kes di Mahkamah Syariah perlu diselesaikan segera untuk mengelak berlakunya kes tertunggak.
Jelas baginda, ia sekali gus menyebabkan pihak yang terlibat berdepan kesukaran apabila kes mereka tidak selesai.
"Segala kes syariah peru diselesaikan secepat mungkin, kita tidak mahu banyak backlog (kes tertunggak) seperi dinyatakan Menteri Besar mengenai kes kekeluargaan dan harta pusaka.
"Ini akan menyusahkan pihak terlibat secara langsung," titah baginda lagi.
Terdahulu, Al-Sultan Abdullah berkenan merasmi dan memasyhurkan Kompleks Mahkamah Syariah Negeri Pahang, di sini, pada Isnin.
Turut berangkat, Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Hadir sama pada majlis itu ialah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.
Kompleks yang siap dibina sepenuhnya pada 23 September 2021 itu menelan belanja kira-kira RM44.75 juta.