Mahkamah Shah Alam terima panggilan bom

Bernama
November 6, 2012 15:10 MYT
Prosiding di Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini terganggu sehingga tiga jam hari ini dari pukul 8.30 pagi tadi kerana panggilan bom palsu.
Lebih 300 petugas mahkamah beserta orang awam diarah mengosongkan kompleks itu dan berhimpun di perkarangan letak kereta sementara menunggu pasukan unit pemusnah bom dan unit anjing pengesan memeriksa seluruh bangunan mahkamah.
Mereka tidak menemui bom atau sebarang unsur bahan letupan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam Supt Mazlan Othman berkata polis menerima maklumat mengenai panggilan bom itu kira-kira pukul 8.25 pagi selepas seorang lelaki menelefon operator wanita mahkamah itu dan mengugut akan meletupkan bom di kawasan mahkamah pada tiga waktu, pukul 9, 10 dan 11 pagi.
"Hasil siasatan kami mendapati ia adalah panggilan palsu. Kami juga belum dapat memastikan sama ada panggilan itu dibuat melalui telefon awam atau telefon bimbit serta dari mana panggilan itu dibuat," katanya.
Mazlan berkata sepanjang operasi pemeriksaan dijalankan, semua tertuduh untuk kes sebutan dan perbicaraan, ditempatkan di lokap berpusat di Ibu pejabat Polis Daerah Shah Alam.
#bom #Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah
;