Mahkamah sekat akses akaun bank luar negara, saham berkaitan 1MDB

Bernama
Mac 6, 2025 16:30 MYT
Mahkamah Tinggi membenarkan perintah sekatan terhadap akaun bank dan saham milik Putera Faisal Turki Al Saud dan Paul Geoffrey Stadlen yang didakwa berkaitan dengan dana 1MDB. -Gambar hiasan/Bernama
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan kerajaan untuk mengeluarkan perintah sekatan terhadap akaun bank dan saham milik putera Arab Saudi Putera Faisal Turki Al Saud dan bekas penasihat media Datuk Seri Najib Tun Razak, Paul Geoffrey Stadlen yang didakwa berkaitan dengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ringkasan AI
  • Mahkamah Tinggi membenarkan perintah sekatan terhadap akaun bank dan saham milik Putera Faisal Turki Al Saud dan Paul Geoffrey Stadlen yang didakwa berkaitan dengan dana 1MDB.
  • Sekatan melibatkan US$4.5 juta dalam akaun bank Putera Faisal di Riyad Bank dan 12 juta unit saham milik Stadlen di UK.
  • Kerajaan mendakwa dana tersebut berasal daripada penyelewengan dana 1MDB dan projek infrastruktur utama seperti MPP, TSGP, dan ECRL.

Hakim K. Muniandy mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat mengikut Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, supaya kedua-dua individu tersebut disekat daripada mengakses akaun bank dan saham mereka di luar negara.
Sekatan itu melibatkan wang berjumlah US$4.5 juta yang didakwa berada di dalam akaun bank Putera Faisal di Riyad Bank, Arab Saudi dan 12 juta unit saham milik Stadlen yang kini dipegang syarikat pengurusan aset di United Kingdom (UK).
Dalam perbicaraan kes Najib membabitkan penyelewengan dana 1MDB, terdapat keterangan saksi mendakwa bahawa Putera Faisal merupakan individu yang didakwa mendepositkan wang berjumlah USD9,999,977 dan USD9,999,970 masing-masing pada Februari dan Jun 2011 ke dalam akaun Ambank peribadi milik bekas perdana menteri itu.
Melalui dua permohonan yang difailkan semalam, Kerajaan Malaysia mendakwa wang US$4.5 juta di dalam akaun bank milik Putera Faisal di Riyad Bank berasal daripada dana yang diseleweng daripada 1MDB.
Selain itu, Kerajaan Malaysia juga mendakwa saham yang dimiliki Stadlen dibeli menggunakan lebih USD100 juta yang diseleweng daripada tiga projek infrastruktur utama iaitu Saluran Paip Pelbagai Produk (MPP), Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP) dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Ditemui pemberita di luar mahkamah, Mahadi berkata kerajaan menerusi Peguam Negara akan menggunakan Bantuan Undang-Undang Bersama (MLA: Mutual Legal Assistance) untuk menyampaikan perintah mahkamah kepada rakan sejawatnya di Arab Saudi dan UK.
-- BERNAMA
#1MDB #Mahkamah Tinggi #Putera Faisal Turki Al Saud #Paul Geoffrey Stadlen
;