Mahkamah saran kes saman Dzulkefly terhadap Asyraf Wajdi diselesai secara baik

Bernama
Mac 14, 2024 23:39 MYT
Pada 12 April 2022, Dzulkefly selaku plaintif menyaman Asyraf Wajdi atas dakwaan memuat naik satu hantaran memfitnah menerusi Twitternya pada 24 Ogos 2020 yang turut diterbitkan dalam Facebook defendan. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen hari ini mencadangkan supaya kes saman difailkan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad terhadap Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berhubung hantaran Twitter yang didakwa memfitnah Menteri Kesihatan itu, diselesaikan secara baik.
Peguam Mohamed Shahrul Fazli Kamarulzaman mewakili Asyraf Wajdi yang merupakan Setiausaha Agung UMNO berkata Hakim Norakhmar Mohd Sani membuat cadangan itu semasa prosiding di dalam kamarnya hari ini yang turut dihadiri peguam Jaden Phoon Wai Ken mewakili Dzulkefly.
"Hakim memaklumkan sebarang penyelesaian boleh dimasukkan sebelum tarikh perbicaraan pada 20 hingga 24 Jan 2025," katanya kepada pemberita di sini.
Menurut Mohamed Shahrul Fazli, hari ini ditetapkan untuk perbicaraan kes saman itu, namun ditangguhkan oleh mahkamah berikutan keadaan kesihatan Dzulkefly yang tidak baik.
Pada 12 April 2022, Dzulkefly selaku plaintif menyaman Asyraf Wajdi atas dakwaan memuat naik satu hantaran memfitnah menerusi Twitternya pada 24 Ogos 2020 yang turut diterbitkan dalam Facebook defendan.
Dalam pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa hantaran itu antara lain membawa maksud plaintif mengamalkan kronisme dan nepotisme khususnya dalam proses lantikan seorang anak perempuannya sebagai Ahli Lembaga Pengarah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), selain menyalahgunakan kuasa dan kedudukannya selaku Menteri Kesihatan untuk kepentingan peribadi dan keluarganya.
Dzulkefly menegaskan kata-kata fitnah itu tidak berasas dan tidak benar kerana semasa pelantikan anak perempuannya, AIM ditadbir urus oleh Lembaga Pemegang Amanah yang merupakan ahli-ahli daripada wakil kerajaan yang ketika itu kerajaan Barisan Nasional dan plaintif bukanlah seorang menteri dan parti politik Pakatan Harapan bukanlah kerajaan pada masa itu.
"Pelantikan terbabit berdasarkan penilaian objektif terhadap merit dan kelayakan anak perempuan saya. Kementerian Kesihatan juga mengeluarkan pernyataan media yang dengan jelas menyatakan kementerian itu tidak terlibat dengan pelantikan anak perempuan saya," kata Dzulkefly dalam pernyataan tuntutannya.
Oleh itu, beliau menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan teladan serta perintah injunksi bagi menghalang defendan daripada mengeluarkan atau menyebarkan semula perkataan fitnah itu, selain perlu menerbitkan permohonan maaf secara bertulis kepada plaintif yang kemudiannya diterbitkan menerusi Twitter defendan atau dihebahkan dalam akhbar tempatan pilihan plaintif.
Sementara itu, Asyraf Wajdi menerusi pernyataan pembelaannya berkata hantaran itu dibuat tanpa sebarang niat jahat untuk merosakkan reputasi dan nama baik plaintif.
-- BERNAMA
#kes saman #perkataan fitnah #tarikh perbicaraan #hantaran Twitter
;