Mahkamah Rayuan tolak permohonan MyCC kembalikan denda RM86.77 juta terhadap Grab

Bernama
Mac 19, 2025 15:45 MYT
Hakim berkata tiada prosedur pembetulan dalaman tersedia kepada Grab Inc, Grabcar Sdn Bhd dan Myteksi Sdn Bhd untuk merayu keputusan. - Gambar hiasan
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini menolak permohonan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) untuk mengembalikan cadangan denda RM86.77 juta terhadap Grab Inc dan dua anak syarikatnya berhubung dakwaan syarikat e-hailing itu antipersaingan.
Keputusan dicapai sebulat suara oleh panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Datuk S Nantha Balan, Datuk Lim Chong Fong dan Datuk Ahmad Kamal Md Shahid, yang turut memerintahkan MyCC membayar RM50,000 sebagai kos guaman.
Hakim Lim ketika membacakan keputusan berkata tiada merit dalam rayuan MyCC.
Beliau berkata tiada prosedur pembetulan dalaman tersedia kepada Grab Inc, Grabcar Sdn Bhd dan Myteksi Sdn Bhd untuk merayu terhadap keputusan yang dicadangkan.
Lim berkata Mahkamah Tinggi juga tidak melakukan kesilapan dalam keputusannya menyatakan bahawa siasatan dijalankan oleh MyCC terhadap syarikat berkenaan tercemar dengan kecuaian prosedur.
Hakim Lim berkata pengendalian aduan MyCC pada 2019 adalah sambil lewa, yang mencerminkan kecuaian prosedur.
Beliau berkata tiada bukti menunjukkan bahawa MyCC telah memaklumkan syarikat berkenaan mengenai siasatan terhadap aduan 2019, sekali gus menghalang mereka mendapatkan peluang untuk memahami tuduhan spesifik terhadap mereka.
Pada 6 Julai 2023, Grab Inc, Grabcar Sdn Bhd dan Myteksi Sdn Bhd berjaya memperoleh perintah certiorari daripada Mahkamah Tinggi untuk membatalkan cadangan denda MyCC, yang mendorong MyCC untuk merayu keputusan itu di Mahkamah Rayuan.
Kes bermula apabila tiga syarikat tersebut mengemukakan semakan kehakiman pada Disember 2019 untuk mencabar denda dicadangkan oleh MyCC terhadap dakwaan pelanggaran Akta Persaingan khususnya klausa sekatan dikenakan ke atas pemandu mereka.
Pada Februari 2020, Mahkamah Tinggi menolak permohonan ketiga-tiga syarikat berkenaan kerana mahkamah menganggap langkah itu terlalu awal memandangkan keputusan dicadangkan belum muktamad.
Bagaimanapun, Grab mengemukakan rayuan dan pada April 2021, Mahkamah Rayuan membenarkan semakan kehakiman dan merujuk kes itu semula ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan penuh berdasarkan merit kes.
Pada 2022, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan MyCC untuk mendapatkan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan, membuka jalan bagi Mahkamah Tinggi untuk menjalankan perbicaraan substantif mengenai semakan kehakiman pada tahun itu.
Dalam prosiding hari ini, MyCC diwakili peguam Tan Sri Tommy Thomas dan Mervyn Lai Wei Shiung manakala pasukan undang-undang syarikat berkenaan diwakili Datuk Malik Imtiaz Sarwar.
-- BERNAMA
#Mahkamah Rayuan #MyCC #grab #mengembalikan cadangan denda
;