Mahkamah Rayuan tetapkan 2 Julai untuk dengar rayuan Najib saman Tommy Thomas
Bernama
Januari 22, 2025 20:55 MYT
Januari 22, 2025 20:55 MYT
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menetapkan 2 Julai ini untuk mendengar rayuan Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mengembalikan semula saman RM1.9 juta terhadap bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas.
Tarikh itu disahkan oleh seorang daripada peguam Thomas, Haikaldin Mahyidin kepada Bernama.
Ia ditetapkan semasa sesi pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Khainur Aleeza Ismail pada 10 Jan lepas.
Rayuan itu pada asalnya dijadualkan pada 19 Nov tahun lepas, tetapi ditangguhkan susulan seorang daripada panel tiga hakim, Datuk Faizah Jamaludin menarik diri, atas permintaan peguam Najib, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin.
Najib mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 25 Nov 2022 yang membenarkan permohonan Thomas untuk membatalkan saman Najib tanpa perbicaraan penuh. Dalam samannya, Najib mendakwa Thomas melanggar kuasa dalam jawatan awam apabila mendakwanya berkaitan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Dalam saman terbabit, Najib mendakwa telah dituduh melakukan rasuah dalam skandal 1MDB, International Petroleum Investment Company (IPIC), salah guna kuasa di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, dan pengubahan wang haram di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
Thomas ialah Peguam Negara dari 4 Jun 2018 hingga 28 Feb 2020.
Najib memohon pengisytiharan bahawa Thomas telah melakukan penyelewengan jawatan awam serta menuntut ganti rugi sebanyak RM1.9 juta termasuk yuran rundingan untuk pasukan audit menyemak dokumentasi bagi penyediaan fakta untuk menghadapi pendakwaan terhadapnya.
-- BERNAMA