Mahkamah Rayuan tetapkan 19 Mei untuk dengar rayuan Siti Bainun

Bernama
Februari 21, 2025 16:30 MYT
Pada 3 Mei 2023, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menjatuhi hukuman itu selepas Siti Bainun didapati bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella, 13. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menetapkan 19 Mei ini untuk mendengar rayuan pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali yang dijatuhi hukuman penjara 12 tahun kerana mengabai serta menganiaya remaja perempuan sindrom Down dikenali sebagai Bella, pada 2021.
Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Muhammad Noor Firdaus Rosli menetapkan tarikh itu pada prosiding pengurusan kes, Isnin lepas.
Peguam Haijan Omar yang mewakili Siti Bainun, 32, mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Bernama.
Pada 3 Mei 2023, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menjatuhi hukuman itu selepas Siti Bainun didapati bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella, 13.
Mahkamah turut memerintahkan Siti Bainun menandatangani bon berkelakuan baik selama lima tahun dengan seorang penjamin berserta cagaran RM5,000.
Siti Bainun turut diperintah melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.
Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya mangsa di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju, antara Februari hingga Jun 2021.
Wanita itu kemudian dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara selepas permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman ditolak oleh Mahkamah Sesyen.
Pada 2 Mei 2024, Mahkamah Tinggi juga menolak rayuan Siti Bainun untuk mengetepikan sabitan dan hukuman itu dan dia kemudiannya merayu keputusan itu di Mahkamah Rayuan.
Mahkamah Tinggi juga telah menolak permohonan Siti Bainun untuk penangguhan pelaksanaan hukuman penjaranya sementara menunggu penyelesaian rayuannya di Mahkamah Rayuan.
Beliau kemudiannya merayu keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk penangguhan pelaksanaan hukuman penjara ke Mahkamah Rayuan, tetapi kemudian menarik balik rayuan itu.
-- BERNAMA
#rumah bonda #Bella #Siti Bainun #Sindrom Down
;