Mahkamah Rayuan tangguh keputusan rayuan SIS Forum

Bernama
November 15, 2022 23:54 MYT
Hakim berkata, mahkamah memerlukan masa untuk berbincang dan memutuskan rayuan itu memandangkan perkara itu adalah mustahak dan mempunyai kepentingan awam. - Gambar hiasan
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini menangguhkan keputusan berhubung rayuan Sisters In Islam (SIS) Forum (Malaysia) untuk membatalkan fatwa yang mengisytiharkan organisasi itu sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran sebenar Islam.
Datuk Has Zanah Mehat, yang mempengerusikan panel tiga hakim, berkata mahkamah memerlukan masa untuk berbincang dan memutuskan rayuan itu memandangkan perkara itu adalah mustahak dan mempunyai kepentingan awam.
Turut bersidang Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk M. Gunalan. Prosiding mahkamah berlangsung secara dalam talian.
Terdahulu, peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili SIS Forum berhujah fatwa itu, yang disediakan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor dan diwartakan oleh Kerajaan Negeri Selangor pada 31 Julai 2014, menyatakan bahawa SIS Forum, individu, organisasi dan institusi yang mengguna pakai ideologi liberalisme serta pluralisme adalah sesat dan menyimpang daripada ajaran Islam, adalah tidak adil dan tidak berperlembagaan.
"Fatwa itu tidak mentaktifkan atau menunjukkan apa yang dianggap sebagai pluralisme atau liberalisme. Fatwa itu juga tidak memberikan notis sewajarnya kepada perayu (SIS Forum) mengenai perlakuan yang boleh menyebabkan mereka melakukan kesalahan," katanya.
Beliau berkata SIS Forum ditubuhkan pada 1993 untuk mempromosi rangka kerja hak wanita dalam Islam yang mempertimbang pengalaman dan realiti golongan itu bagi menghapuskan ketidakadilan dan diskriminasi terhadap mereka selain meningkatkan kesedaran awam serta pembaharuan undang-undang dan dasar dalam lingkungan keadilan serta kesaksamaan dalam Islam.
Katanya aktiviti SIS Forum dalam memperjuang layanan adil dan sama rata terhadap wanita adalah selaras dengan etos keadilan dan sifat belas kasihan dalam al-Quran secara keseluruhan serta terdapat bahan yang tidak mencukupi di hadapan mahkamah bagi membuktikan bahawa aktiviti mereka adalah terjumlah dalam pengertian liberalisme dan pluralisme.
Malik Imtiaz, yang dibantu oleh A.Surendra Ananth, juga berhujah mana-mana undang-undang yang memohon untuk mengenakan sekatan jenayah namun tidak memberikan notis yang sewajarnya kepada seseorang mengenai perlakuan yang dianggap sebagai jenayah boleh diisytiharkan sebagai tidak berperlembagaan.
Mahkamah turut mendengar hujah peguam Zainul Rijal Abu Bakar, yang mewakili Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor, Yusfarizal Yussoff bagi pihak Majlis Agama Islam Selangor dan Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor Datuk Salim Soib@Hamid, yang mewakili Kerajaan Negeri Selangor.
Zainul Rijal berhujah bahawa SIS Forum adalah singkatan bagi Sisters in Islam dan melalui namanya, organisasi itu menunjukkan bahawa ia mempunyai kaitan dengan Islam manakala semua pengasas organisasi itu, yang merupakan pengarahnya, adalah wanita Islam dan aktivitinya termasuk isu membabitkan hal ehwal Islam.
Beliau berkata organisasi itu telah menerbitkan banyak pandangan dan pendiriannya di bawah nama SIS Forum mengenai ajaran Islam yang mengandungi unsur liberalisme dan pluralisme yang didapati menyimpang oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor.
Zainul Rijal berkat objektif untuk mengawal dan menyekat mana-mana fahaman adalah bertentangan dengan ajaran Islam sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan akan menjadi tidak berkesan jika mana-mana kenyataaan atau pandangan adalah bertentangan dengan ajaran Islam dibuat di bawah nama syarikat seperti SIS Forum.
Yusfarizal pula berhujah bahawa SIS Forum tidak mencabar isu perlembagaan atau pematuhan statutori fatwa itu sebaliknya mencabar kesahihan kandungan fatwa yang sepatutnya berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah dan bukan Mahkamah Sivil.
Pada 27 Ogos 2019, Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakiman difailkan oleh SIS Forum, pengasasnya Zainah Mahfoozah Anwar dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mohd Zaid Ibrahim, yang memohon perintah certiorari untuk membatalkan fatwa itu.
-- BERNAMA
#sisters in islam #SIS #fatwa #Mahkamah Rayuan
;