Mahkamah Rayuan: Lelaki bunuh pencuci rumah warga Indonesia dipenjara 35 tahun
Bernama
Jun 24, 2024 22:34 MYT
Jun 24, 2024 22:34 MYT
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini menggantikan hukuman mati dijatuhkan terhadap seorang lelaki berusia 41 tahun kepada penjara 35 tahun, kerana sabitan membunuh seorang pencuci rumah warga Indonesia pada 2017, yang didakwanya telah memburuk-burukkannya.
Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Supang Liang bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk S.M. Komathy Suppiah, menolak rayuan Khairul Azizi Abdul Jalil untuk menukar sabitan ke atas kesalahan yang dilakukannya itu.
Bagaimanapun Hakim Supang ketika membacakan keputusan, membenarkan rayuan Khairul Azizi untuk mengantikan hukuman mati yang dijatuhkan ke atasnya oleh Mahkamah Tinggi, kepada penjara 35 tahun bermula dari tarikh tangkap iaitu 9 Okt 2017.
Beliau juga mengenakan hukuman 12 sebatan terhadap Khairul Azizi.
Terdahulu, ketika mahkamah menolak rayuan Khairul Azizi terhadap sabitan kesalahannya, Hakim Komathy berkata Khairul Azizi berada dalam keadaan waras pada masa kesalahan itu dilakukan dan dia tahu tindakannya itu menyalahi undang-undang dan menambah bahawa ia sebenarnya satu pembunuhan yang dirancang.
Tahun lepas Mahkamah Tinggi Ipoh mendapati Khairul Azizi bersalah kerana membunuh Aidah Tursinawati, 40-an, di sebuah rumah di Kampung Tersusun Tasek, Ipoh, Daerah Kinta, Perak pada kira-kira 3.25 petang, 9 Okt 2017.
Hakim Mahkamah Tinggi Su Tiang Joo memutuskan bahawa Khairul Azizi gagal membuktikan bahawa pada ketika beliau membunuh Aidah, dia tidak waras dan tidak dapat membezakan bahawa perbuatan itu salah.
Mengikut fakta kes, Khairul Azizi, seorang pembantu tadbir di PERBEKAS (Persatuan Bekas Kastam Malaysia) telah ke balai polis Bercham dan mengaku telah membunuh seorang wanita warga Indonesia yang datang untuk membersihkan rumah ibu bapanya dan rumah inap, dengan menetaknya di kepala dan mukanya dengan parang.
Dia memaklumkan kepada pihak polis bahawa dia telah membunuh wanita itu, kerana mangsa dikatakan memburuk-burukkannya kepada orang lain.
Polis kemudian pergi ke tempat kejadian dan mendapati wanita itu terbaring, cedera parah dan berlumuran darah serta tidak bergerak. Mereka turut menemukan parang yang berlumuran darah. Pakar perubatan forensik memaklumkan bahawa wanita itu mengalami sekurang-kurangnya 20 luka tetakan dengan bahagian ibu jari dan jarinya terputus.
Dalam pembelaannya, Khairul Azizi berkata sebelum kejadian dia telah menerima rawatan kerana mengambil racun. Dia mendakwa dia mengambil racun perosak kerana suara yang didengarinya yang mengarahkannya untuk mandi, solat dan mencampuri urusan orang lain.
Khairul Azizi mendakwa dia bertindak mengikut arahan suara itu untuk mengambil parang dan menetak kepala Aidah dan selepas itu terdengar suara menyuruhnya pergi ke balai polis Bercham untuk menyerah diri.
Sementara itu, peguam Mohamad Asri Othman yang mewakili Khairul Azizi memohon mahkamah untuk meringankan hukuman mati kepada penjara 30 tahun, namun Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Aznee Salmie Ahmad yang dibantu DPP Aida Khairuleen Azli, meminta mahkamah mengekalkan hukuman mati tersebut.
-- BERNAMA