Mahkamah Rayuan ketepikan keputusan bekas tentera diberi ganti rugi RM300,000

Bernama
September 14, 2023 15:35 MYT
Keputusan itu dibuat secara sebulat suara oleh panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Datuk Azizah Nawawi yang bersidang bersama Datuk Azimah Omar dan Datuk Wong Kian Kheong. - Gambar hiasan
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bharu yang memerintahkan seorang bekas anggota tentera diberi ganti rugi RM300,000 akibat penahanan dalam lokap oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selama 311 hari pada Ogos 2014 hingga Julai 2015.
Keputusan itu dibuat secara sebulat suara oleh panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Datuk Azizah Nawawi yang bersidang bersama Datuk Azimah Omar dan Datuk Wong Kian Kheong.
"Mahkamah mendapati Pesuruhjaya Kehakiman ketika itu, Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abbas tersilap membuat tafsiran mengikut Seksyen 96(3) Akta Angkatan Tentera 1972 sebelum memutuskan ganti rugi berkenaan kepada Mohamad Maliki Abdul Halim (responden).
"Oleh itu, kami membenarkan rayuan (kerajaan) dan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi," kata Hakim Azizah yang turut memerintahkan Mohamad Maliki membayar kos RM40,000 kepada kesemua perayu.
Selain kerajaan, perayu lain ialah Pegawai Memerintah Batalion ke-5 Rejimen Renjer Diraja, Leftenan Kolonel Shifullizan Abd Aziz; pihak berkuasa sidang Panglima Bridged Kelapan Infantri Malaysia dan Panglima Angkatan Tentera.
Pada prosiding hari ini, Peguam Kanan Persekutuan (SFC) Nur Ezdiani Roleb mewakili kesemua perayu manakala responden diwakili peguam Shaharuddin Mohamed.
Pada September tahun lepas, Mohamad Abazafree mengarahkan Mohamad Maliki, 35, diberi ganti rugi am, khas dan teladan teruk secara global sebanyak RM300,000 selepas mendapati penahanan dibuat ke atas lelaki itu adalah tidak sah dan berlaku kepincangan dalam prosedur tindakan tatatertib dibuat secara semberono.
Pada Mei 2018, Mohamad Maliki selaku plaintif memfailkan saman dengan menamakan Pegawai Memerintah Batalion ke-5 Rejimen Renjer Diraja, Leftenan Kolonel Shifullizan Abd Aziz; pihak berkuasa sidang Panglima Bridged Kelapan Infantri Malaysia; Panglima Angkatan Tentera dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan.
Menerusi pernyataan tuntutan, Mohamad Maliki mendakwa beliau ditahan secara salah selepas didapati positif dadah dalam satu operasi pencegahan di Batalion 5 Rejimen Renjer Diraja, Kem Desa Pahlawan, Kok Lanas, Kota Bharu, Kelantan.
Dakwanya, akibat penahanan salah tersebut haknya bersama isteri serta kehidupannya terjejas.
Mohamad Maliki ketika itu bertugas sebagai anggota Renjer Batalion 5 Rejimen Renjer Diraja Kem Desa Pahlawan.
-- BERNAMA
#bekas anggota tentera #penahanan dalam lokap #ganti rugi #keputusan mahkamah
;