Mahkamah Rayuan kekal hukuman penjara seumur hidup terhadap lelaki cullik tiga warga Bangladesh
Bernama
Julai 13, 2023 00:10 MYT
Julai 13, 2023 00:10 MYT
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman penjara seumur hidup yang dikenakan terhadap seorang penganggur lelaki yang disabitkan dengan kesalahan menculik tiga warga Bangladesh untuk mendapatkan wang tebusan sembilan tahun lepas.
Panel hakim Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada Hakim Datuk Hanipah Farikullah, Datuk P.Ravinthran dan Datuk Nordin Hassan (kini hakim Mahkamah Persekutuan) turut mengekalkan hukuman Mahkamah Tinggi yang memerintahkan supaya Suhaimi Alias, 46, dikenakan 10 sebatan.
Dalam penghakiman pada 7 Julai lepas, Hakim Ravinthran menolak rayuan Suhaimi terhadap sabitan serta hukuman, dan mengatakan bahawa tidak ada alasan untuk campur tangan dalam keputusan Mahkamah Tinggi yang mensabitkan Suhaimi dengan kesalahan itu.
Beliau berkata terdapat bukti kukuh berhubung niat bersama semua tertuduh termasuk Suhaimi untuk menculik mangsa.
"Mereka telah menyamar sebagai pegawai polis untuk membawa mangsa ke bilik hotel. Mangsa ditutup matanya dan dikurung di dalam bilik. Ini perbuatan jenayah," katanya.
Suhaimi dan dua lagi yang terdiri daripada Raja Mohd Hafiz Raja Shuib serta warga Myanmar Nobi Hussein Abutar, didakwa menculik Md Gholam Faruque, Mohamed Rafik dan Sojib bagi mendapatkan wang tebusan RM50,000 di sebuah pasar raya mini di Jalan Meru Klang, Selangor pada pukul 4 pagi 16 Mac 2014.
Raja Hafiz meninggal dunia semasa dibicarakan, dan di hujung perbicaraan Mahkamah Tinggi mensabitkan Suhaimi dan Nobi Hussein dengan kesalahan.
Kedua-dua mereka diperintah menjalani hukuman penjara seumur hidup, dan 10 sebatan.
Dalam penghakiman setebal 19 muka surat Ravinthran berkata, mahkamah mendapati hukuman 10 kali sebatan itu adalah wajar berdasarkan kepada fakta kes yang merujuk kepada tindakan Suhaimi dan rakan subahatnya menyasarkan golongan rentan seperti pekerja asing.
Mereka menyamar sebagai pegawai polis dan menculik. Tebusan yang dituntut adalah jumlah yang besar. Dua daripada mangsa parah dipukul, pegawai yang membuat serbuan memberitahu mahkamah bahawa mangsa dihantar ke hospital dengan segera selepas diselamatkan," katanya dan menambah campur tangan terhadap hukuman Mahkamah Tinggi adalah tidak wajar dalam semua keadaan kes.
Hakim Ravinthran berkata Mahkamah Tinggi juga memilih untuk menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 10 sebatan ke atas Suhaimi dan Nobi Hussein, berbanding hukuman mati.
Rayuan Nobi Hussein terhadap sabitan dan hukuman ditetapkan untuk pendengaran pada 26 Julai ini.
-- BERNAMA