Mahkamah Rayuan kekal hukuman denda bekas anggota polis miliki pasport, IC individu lain

Bernama
Julai 3, 2023 21:30 MYT
Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan hukuman denda RM6,000 ke atas seorang bekas konstabel polis kerana memiliki pasport dan kad pengenalan milik beberapa individu. - Gambar hiasan
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan hukuman denda RM6,000 ke atas seorang bekas konstabel polis kerana memiliki pasport dan kad pengenalan milik beberapa individu.
Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Hadhariah Syed Ismail, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin membuat keputusan itu selepas menolak rayuan S.Verappan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mensabit serta menjatuhkan hukuman itu ke atasnya.
Verappan, 54, didapati bersalah atas dua pertuduhan iaitu menyimpan serta memiliki pasport milik empat warga Indonesia dan kad pengenalan milik lima rakyat Malaysia tanpa alasan yang munasabah di Persiaran Perdana, Sri Damansara, daerah Petaling Jaya, Selangor pada 2.30 petang 20 Mei 2016.
Pada asalnya, dia dibebaskan daripada pertuduhan oleh Mahkamah Majistret pada 29 Dis 2017 tanpa dipanggil membela diri.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi pada 7 Ogos 2019 telah memerintahkan Verappan membela diri atas kedua-dua pertuduhan selepas membenarkan rayuan pendakwaan.
Pada 2 Jun 2020, Mahkamah Majistret sekali lagi membebaskan Verappan daripada kedua-dua pertuduhan di akhir kes pembelaan.
Pada 21 Okt 2021, Mahkamah Tinggi mengetepikan keputusan itu dan memutuskan Verappan bersalah serta mengenakan hukuman denda RM3,000 atau penjara empat bulan bagi setiap pertuduhan yang menyebabkan tertuduh merayu ke Mahkamah Rayuan.
Pada prosiding hari ini, peguam M.Mathavan berhujah bahawa kesemua dokumen yang disimpan oleh Verappan adalah milik suspek yang bertindak melarikan diri ketika diperiksa semasa tertuduh bertugas di bahagian narkotik.
Justeru, beliau memohon panel itu agar mengembalikan keputusan Mahkamah Majistret yang membebaskan anak guamnya.
Dalam pembelaannya, Verappan berkata tiada sebarang prosedur operasi standard untuk Polis Diraja Malaysia berhubung pengendalian dokumen lama dan tidak menjadi kesalahan untuk menyimpan atau memiliki dokumen terbabit.
Timbalan Pendakwa Raya Atiqah Abdul Karim@Husaini pula memohon mahkamah menolak rayuan Verappan kerana tertuduh, yang bertugas sebagai penyelia di bahagian logistik ketika ditahan, tidak mempunyai kuasa untuk memiliki dokumen itu selain gagal memberi alasan munasabah bagi menyimpan dokumen terbabit.
Beliau juga berkata terdapat garis panduan berkaitan penyimpanan dan pelupusan barangan yang dirampas oleh pihak penguat kuasa.
Verappan membayar denda itu.
-- BERNAMA
#Mahkamah Rayuan #bekas anggota polis #miliki IC pasport #hukuman denda
;