Mahkamah Rayuan kekal 10 tahun penjara pemandu teksi seludup warga Indonesia

Bernama
November 9, 2022 23:15 MYT
Hakim tiga panel terdiri daripada Datuk Hanipah Farikullah, Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk Nordin Hassan menolak rayuan Zulkifli Muhamad untuk mengurangkan tempoh hukuman penjaranya. - Gambar hiasan
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan hukuman 10 tahun penjara ke atas seorang pemandu teksi yang mengaku bersalah menyeludup 24 imigran warga Indonesia.
Hakim tiga panel terdiri daripada Datuk Hanipah Farikullah, Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk Nordin Hassan menolak rayuan Zulkifli Muhamad untuk mengurangkan tempoh hukuman penjaranya.
Zulkifli, 57, mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi atas kesalahan menyeludup imigran di Ladang Kurnia, Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor pada 8 malam, 11 April, 2020 dan dijatuhkan hukuman 10 tahun penjara bermula dari tarikh tangkapan pada 16 April, 2020.
Beliau didakwa di Mahkamah Tinggi Johor Bahru bersama enam individu lain atas kesalahan itu. Zulkifli dan empat individu mengaku bersalah, manakala dua lagi tertuduh meminta dibicara.
Menurut fakta kes, Zulkifli membawa warga Indonesia itu daripada sebuah rumah yang digunakan sebagai tempat transit sebelum menghantar mereka pulang ke negara asal dengan sebuah bot, selepas imigran terbabit membayar sejumlah wang.
Kesemua warga Indonesia itu didakwa di mahkamah kerana tidak mempunyai dokumen yang sah dan masing-masing dihukum penjara dua tahun. Mereka dihantar pulang ke Indonesia setelah selesai menjalani hukuman.
Zulkifli diwakili peguam Bustaman Menon Abdul Hamid Menon manakala Timbalan Pendakwa Raya How May Ling hadir bagi pendakwaan.
-- BERNAMA
#pemandu teksi #seludup warga indonesia #Mahkamah Rayuan #hukuman penjara
;