Mahkamah Rayuan batal saman edar dadah terhadap pesalah juvana

Bernama
Ogos 22, 2024 21:26 MYT
Panel tiga hakim memutuskan bahawa pihak pembelaan telah menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan. - Gambar hiasan
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini membatalkan sabitan terhadap seorang pemuda atas kesalahan mengedar 2.3 kilogram (kg) metamfetamina lima tahun lepas ketika dia masih remaja dan mengarahkan dia dibebaskan daripada pusat pemulihan.
Pemuda itu berusia 15 tahun ketika dia ditahan polis.
Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, Datuk Azman Abdullah dan Mohamed Zaini Mazlan memutuskan bahawa pihak pembelaan telah menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Beliau berkata pemuda itu telah meletakkan pembelaannya pada peringkat pendakwaan, iaitu bukanlah sesuatu yang tidak difikirkannya secara mendalam atau penafian kosong.
Panel membenarkan rayuan pemuda itu untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi meletakkannya dalam tahanan di bawah perkenan Yang-di Pertuan Agong mengikut peruntukan di bawah Seksyen 97(2)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, sebagai ganti hukuman mati mandatori bagi kesalahan itu.
Che Mohd Ruzima berkata terdapat unsur pengedaran di bawah Seksyen 2 Akta Dadah Berbahaya 1952 (dalam pertuduhan tersebut) justeru timbul suatu anggapan yang perlu dipatahkan perayu dan dia berjaya melakukannya.
Beliau berkata perayu, yang kini berusia 20 tahun, dalam situasi yang tidak memihak kepadanya, berjaya mematahkan anggapan itu menerusi buktinya sendiri dan testimoni dua saksi pembelaan.
Pemuda itu didapati bersalah oleh Mahkamah Persekutuan pada 2022 atas kesalahan mengedar dadar yang didakwa dilakukannya di tepi Jalan Lorong 1/77A, Imbi, Dang Wangi, Kuala Lumpur pada 9.20 malam, 24 Okt, 2019.
Dia diarahkan diletakkan di bawah perkenan Yang-di Pertuan Agong mengikut Seksyen 97 Akta Kanak-Kanak 2001 dan ditempatkan di sebuah pusat pemulihan di Selangor kerana berumur di bawah 21 tahun.
Sewaktu prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairuz Johari memberitahu mahkamah serbuan itu dilakukan atas maklumat daripada seorang individu awam.
Beliau berkata polis telah memerhatikan pemuda itu kira-kira 10 minit sebelum menahannya, iaitu pada ketika itu dia sedang membawa sebuah beg plastik mengandungi dadah tersebut.
Peguam Maizatul Zamrina Karizaman berkata pemuda itu baru sahaja memiliki beg berkenaan dan tidak mengetahui isi kandungannya.
Maizatul Zamrina berkata perayu diarahkan oleh bapa saudaranya untuk memberikan beg tersebut kepada seorang lelaki yang sedang menunggu di seberang jalan apabila dia ditahan polis.
-- BERNAMA
#Mahkamah Rayuan #hukuman mati #beg plastik #Dadah