Mahkamah Rayuan arah suri rumah mohon kurangkan ikat jamin di Mahkamah Tinggi

Bernama
Julai 26, 2023 22:24 MYT
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera hari ini menolak permohonan Ng Hui Yee untuk mengurangkan jumlah ikat jaminnya. - Gambar hiasan
PUTRAJAYA: Seorang suri rumah yang didakwa membunuh pelayan restoran perlu kembali ke Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi memohon pengurangan jumlah ikat jamin yang ditetapkan sebanyak RM500,000.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera hari ini menolak permohonan Ng Hui Yee untuk mengurangkan jumlah ikat jaminnya.
Dalam keputusan mahkamah, Hakim Vazeer berkata Mahkamah Tinggi boleh mendengar permohonan Hui Yee untuk mengubah kuantum ikat jaminnya berdasarkan Seksyen 389 Kanun Tatacara Jenayah.
Beliau berkata mahkamah bersetuju bantahan awal yang dibangkitkan oleh pihak pendakwaan bahawa ia terbuka bagi pemohon (Hui Yee) untuk membuat permohonan di Mahkamah Tinggi bagi mengubah syarat perintah ikat jaminnya.
Beliau berkata Mahkamah Tinggi bukan functus officio dan boleh mendengar dan mempertimbangkan permohonan Hui Yee untuk mengubah jumlah ikat jaminnya. Functus officio bermaksud apabila mahkamah membuat keputusan, ia tidak mempunyai kuasa untuk meneliti semula keputusan itu.
Dua lagi hakim yang menganggotai panel itu, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Wong Kian Kheong.
Pada 24 Mei lepas, Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan Hui Yee dengan ikat jamin RM500,000 sementara menunggu perbicaraan. Permohonan ikat jamin itu dibuat mengikut Seksyen 388 Kanun Tatacara Jenayah yang menyatakan seorang wanita yang didakwa melakukan jenayah diklasifikasikan sebagai "kesalahan tidak boleh diikat jamin" boleh meminta dibebaskan dengan ikat jamin.
Bagaimanapun Hui Yee masih belum membayar ikat jamin itu kerana kuantum tinggi yang dikenakan. Dia kini direman di Penjara Kajang.
Hui Yee, 33, dan suami Khor Swee Boon, 30, didakwa secara bersama membunuh Cho Lim Fong di hadapan sebuah restoran di Jalan Pandan Indah 1/22, Kuala Lumpur pada 8.55 malam, 29 Dis tahun lepas.
Tertuduh kemudian memfailkan permohonan di Mahkamah Rayuan untuk mengurangkan jumlah ikat jamin berkenaan.
Pada prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Ng Siew Wee mengemukakan bantahan awal mengatakan permohonan Hui Yee tidak kompeten dan mahkamah itu tidak sepatutnya melayan kerana dia (Hui Yee) masih belum melucutkan haknya untuk memohon variasi perintah ikat jamin di Mahkamah Tinggi.
Beliau berkata Mahkamah Tinggi mempunyai kuasa untuk mengubah kuantum ikat jamin itu.
Peguam RSN Rayer yang mewakili Hui Yee memohon mahkamah untuk mengurangkan jumlah ikat jamin tersebut kepada jumlah yang berpatutan iaitu RM20,000. Beliau berkata adalah tidak adil untuk anak guamnya ditahan di penjara sedangkan beliau berhak diikat jamin.
Beliau berkata telah meminta hakim Mahkamah Tinggi untuk mengurangkan kuantum ikat jamin tetapi hakim sebaliknya menetapkan RM50,000.
Dalam kejadian itu, pelayan restoran tersebut meninggal dunia akibat kecederaan parah apabila bungkusan yang ditinggalkan di atas bonet keretanya meletup.
-- BERNAMA
#ikat jamin #Mahkamah Tinggi #kecederaan parah #meninggal dunia
;