Mahkamah Persekutuan tolak permohonan habeas corpus warga Bangladesh
Bernama
Julai 29, 2024 06:15 MYT
Julai 29, 2024 06:15 MYT
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan telah menolak rayuan seorang lelaki warga Bangladesh untuk mendapatkan writ habeas corpus bagi memastikan agar dia dibebaskan daripada tahanan.
Panel tiga hakim terdiri daripada Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Amar Abang Iskandar Abang Hashim serta Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Harmindar Singh Dhaliwal dan Datuk Abdul Karim Jalil membuat keputusan itu pada 23 Julai lepas.
Mereka mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan habeas corpus Md Sagahan yang ditahan susulan serbuan anggota Jabatan Imigresen pada 15 Nov 2023.
Semasa serbuan itu, perayu sedang mengira wang untuk membayar gaji pekerja di sebuah kabin yang digunakan sebagai pejabat bagi Sagahan Enterprise di Eastern Steel Sdn Bhd, Taman Perindustrian Teluk Kalong, Kemaman, Terengganu.
Barangan yang dirampas termasuk wang tunai sebanyak RM272,500, mesin kira wang, buku log gaji, kad tebuk dan salinan jadual kerja.
Pada 28 Nov 2023, Md Sagahan telah dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu yang memerintahkan dia ditahan untuk siasatan hingga 21 Dis tahun sama. Dia kemudian ditawarkan kompaun yang diterimanya dengan membayar RM300.
Pada 5 Dis tahun lepas, Ketua Pengarah Imigresen telah membatalkan pas kerja sementara Md Sagahan kerana melanggar syarat dengan bekerja sebagai juruwang dan bukan buruh binaan seperti yang dinyatakan dalam permitnya.
Pada hari sama, Ketua Pengarah Imigresen telah mengeluarkan Perintah Pengusiran di bawah Seksyen 56 Akta Imigresen terhadap Md Sagahan.
Susulan itu, Md Sagahan telah ditahan buat sementara di Depot Tahanan Ajil sebelum dihantar pulang ke negara asal pada 11 Dis tahun lepas.
Beliau telah memfailkan permohonan writ habeas corpus pada 7 Dis tahun lepas bagi mencabar tindakan Ketua Pengarah Imigresen, Komandan Depot Tahanan Imigresen Ajil di Terengganu, Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia serta mendakwa pas kerjanya sah hingga 28 Ogos tahun ini dan majikannya adalah AHZ Bina Holding (M) Sdn Bhd.
Md Sagahan juga mendakwa dia tidak melakukan sebarang kesalahan Imigresen.
Pada 15 Feb lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu menolak permohonan habeas corpusnya.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hassan Abdul Ghani dalam keputusannya berkata Md Sagahan telah melakukan tiga kesalahan membabitkan pas kerjanya iaitu bekerja di luar kawasan ditetapkan tanpa kebenaran, bekerja sebagai juruwang dan bukannya sebagai buruh binaan serta bekerja dalam sektor lain berbanding bidang yang dibenarkan.
Mahkamah Tinggi meneruskan pendengaran permohonan habeas corpus Md Sagahan meskipun dia telah dihantar pulang kerana hakim berpendapat adalah menjadi kewajipan mahkamah untuk meneliti keseluruhan proses bagi menentukan sama ada tindakan yang diambil oleh Jabatan Imigresen adalah mengikut lunas undang-undang.
Md Sagahan diwakili peguam T. Harpal Singh manakala Peguam Kanan Persekutuan Mohd Zain Ibrahim, Peguam Persekutuan Nuur Izham Ismail dan Timbalan Pendakwa Raya Wan Imaan Ikhwan Wan Iskandar Mirza hadir bagi pihak Ketua Pengarah Imigresen, Komandan Depot Tahanan Imigresen Ajil di Terengganu, Menteri Dalam Negeri serta Kerajaan Malaysia.
-- BERNAMA