Mahkamah Persekutuan tolak permohonan Deepak kembalikan saman terhadap Najib, Rosmah, empat lagi
Bernama
Oktober 6, 2022 19:44 MYT
Oktober 6, 2022 19:44 MYT
PUTRAJAYA: Ahli perniagaan J.R Deepak Jaikishan dan dua lagi gagal dalam usaha mereka untuk mengembalikan semula saman yang difailkan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan tiga syarikat.
Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Datuk Nallini Pathmanathan sebulat suara menolak permohonan semakan oleh Deepak, J. Rajesh dan Carpet Raya Sdn Bhd terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang tidak memberi kebenaran kepada mereka untuk mendengar merit rayuan mereka bagi mengembalikan semula tiga saman terhadap defendan.
Dalam penghakimannya, Nallini berkata, kebenaran tidak sepatutnya diberikan untuk perkara itu didengar semula.
"Tiada kesilapan di pihak panel hakim sebelum ini yang tidak memberikan kebenaran kerana panel itu tidak bertindak melebihi bidang kuasanya.
"Oleh itu, kami menolak permohonan untuk semakan," katanya ketika menyampaikan keputusan dalam talian.
Nallini bersidang bersama Datuk Abdul Rahman Sebli dan Datuk Zabariah Mohd Yusof yang turut memerintahkan Deepak, Rajesh dan syarikat mereka membayar kos RM100,000 kepada defendan.
Ketiga-tiga mereka memohon semakan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 27 Mei yang menolak permohonan mereka untuk mendengar merit rayuan bagi mengembalikan semula tiga saman mereka terhadap Najib, Rosmah, Abdul Azeez, Bakti Wira Development Sdn Bhd, Boustead Holdings Berhad dan Cebur Megah Development Sdn Bhd.
Ini berikutan tiga saman itu dibatalkan oleh dua hakim Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan itu.
Mahkamah Persekutuan kemudiannya menolak permohonan kebenaran mereka untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan itu.
Deepak, Rajesh dan Carpet Raya memfailkan saman terhadap Bakti Wira Development Sdn Bhd, Najib, Rosmah dan Boustead Holdings Berhad berhubung perjanjian tanah yang didakwanya menyebabkan kerugian besar kepada syarikatnya.
Deepak juga memfailkan satu lagi saman terhadap Najib, Rosmah dan Abdul Azeez dan satu lagi tindakan undang-undang terhadap Cebur Megah Development Sdn Bhd. - BERNAMA