Mahkamah Persekutuan putuskan hukuman sebat dijalankan berasingan bagi pesalah pelbagai tuduhan

Bernama
Oktober 4, 2024 20:32 MYT
Keputusan itu dikemukakan oleh panel tiga hakim dalam kes melibatkan seorang kelindan lori yang disabitkan atas tiga pertuduhan memiliki dadah. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan secara majoriti bahawa hukuman sebat perlu dikenakan secara berasingan kepada pesalah yang disabitkan dengan pelbagai tuduhan.
Keputusan itu dikemukakan oleh panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Datuk Nallini Pathmanathan, Hakim Datuk Rhodzariah Bujang dan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais, dalam kes melibatkan seorang kelindan lori M. Santanasamy yang disabitkan atas tiga pertuduhan memiliki dadah.
Hakim Abu Bakar dan Hakim Rhodzariah membentuk majoriti manakala Hakim Nallini tidak bersetuju.
Hasil daripada keputusan itu, Santanasamy, 47, akan menerima 20 sebatan berbanding 10 sebatan.
Ketika menyampaikan keputusan majoriti, Hakim Abu Bakar berkata tiada peruntukan berkanun di Malaysia yang menyatakan sama ada hukuman sebatan perlu dijalankan secara serentak atau berasingan.
Beliau berkata Seksyen 288(5) Kanun Tatacara Jenayah hanya menyatakan bahawa orang dewasa boleh menerima maksimum 24 sebatan manakala pesalah muda dihadkan kepada 10 sebatan.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan hukuman sebat tidak boleh dijalankan serentak kerana pihak berkuasa undang-undang jelas melarangnya.
Hakim Abu Bakar berkata terdapat juga duluan undang-undang mencukupi di Malaysia dan Singapura yang memberikan alasan mengapa sebatan tidak boleh dilaksanakan serentak.
Jika Parlimen berhasrat supaya hukuman sebat dilakukan serentak, undang-undang berkaitan pasti telah digubal, katanya.
"Perkara ini menunjukkan dengan jelas bahawa sebatan harus dijalankan secara berasingan dan bukannya serentak," katanya.
Hakim Abu Bakar berkata badan perundangan telah memilih untuk tidak membenarkan sebatan secara serentak dan adalah tidak wajar mahkamah untuk campur tangan dalam kuasa itu dan memerintahkan hukuman sedemikian dijalankan serentak.
Dalam pendapat berbeza, Hakim Nallini menekankan kepentingan keadilan dan kesesuaian dalam menentukan sama ada sebatan perlu dilaksanakan secara serentak atau berasingan.
Beliau berkata ketiadaan peruntukan undang-undang yang jelas menyatakan sama ada hukuman sebat perlu dijalankan serentak atau berasingan tidak secara automatik bermaksud bahawa mahkamah tidak boleh menggunakan budi bicara.
"Jika benar ia hasrat Parlimen untuk tidak memberikan ruang bagi hukuman sebat dijalankan serentak, ia sepatutnya dinyatakan dengan jelas. Mahkamah perlu mengekalkan kuasa menjatuhkan hukuman untuk memastikan hukuman yang dikenakan setimpal dengan kesalahan itu," katanya.
Santanasamy pada mulanya dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2020 atas tuduhan mengedar 83.03 gram methamphetamine.
Dia juga dikenakan hukuman 11 tahun penjara dan 10 sebatan kerana memiliki 10.13 gram heroin dan dua tahun penjara kerana memiliki 7.48 gram ganja.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Sri Rampai, Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada 14 Feb 2018. Rayuannya telah ditolak Mahkamah Rayuan pada Julai 2022.
Pada 1 Julai lepas, Mahkamah Persekutuan meminda pertuduhan lelaki itu daripada mengedar kepada memiliki dadah, menyebabkan dia dikenakan hukuman penjara sembilan tahun dan 10 sebatan, yang akan dijalankan serentak, menjadikan jumlah hukuman penjara selama 11 tahun.
Santanasamy diwakili peguam Muhammad Amirrul Jamaluddin dan Afifuddin Ahmad Hafifi manakala Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, Mohd Fairuz Johari dan Noorhisham Mohd Jaafar bagi pihak pendakwaan.
Peguam Wan Mohammad Arfan Wan Othman mewakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mengambil bahagian dalam prosiding itu sebagai amicus curiae (sahabat mahkamah).
-- BERNAMA
#Mahkamah Persekutuan #hukuman sebat #pesalah #hukuman secara berasingan
;