Mahkamah Persekutuan kenakan semula denda RM10,000 terhadap ADUN Sungkai

Bernama
Februari 13, 2023 16:35 MYT
Pada Februari 2021, Mahkamah Tinggi mengekalkan keputusan lembaga tatatertib yang mendapati Sivanesan bersalah atas salah laku profesional. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan mengenakan semula denda RM10,000 yang dikenakan oleh lembaga tatatertib peguam bela dan peguam cara terhadap bekas peguam A. Sivanesan, yang kini Exco kerajaan negeri Perak, kerana salah laku profesional, 13 tahun lepas.
Panel tiga hakim yang terdiri daripada Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Harmindar Singh Dhaliwal yang membuat keputusan itu setelah membenarkan rayuan oleh Majlis Peguam Malaysia dan K. Pathmanathan.
Majlis Peguam Malaysia dan Pathmanathan merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 15 Dis tahun lepas, yang membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengekalkan keputusan lembaga tatatertib itu.
Dalam penghakimannya, Nallini berkata Mahkamah Rayuan seharusnya lambat campur tangan terhadap penemuan fakta yang dibuat oleh jawatankuasa lembaga tatatertib peguam bela dan peguam cara.
Beliau berkata nota prosiding Mahkamah Perusahaan mengesahkan asas bagi penemuan fakta jawatankuasa tatatertib, sambil menambah bahawa tiada sebab bagi Mahkamah Rayuan untuk membatalkan penemuan fakta jawatankuasa tatatertib berhubung perkara yang berlaku pada 6 April 2010 semata-mata atas keterangan saksi lain.
Nallini berkata Mahkamah Rayuan gagal melihat Sivanesan bertindak untuk Pathmanathan malah memberi aku janji untuk memfailkan borang yang diperlukan untuk pelantikannya walaupun tidak mempunyai arahan untuk berbuat demikian.
"Oleh itu, jawatankuasa tatatertib mempunyai justifikasi dalam membuat keputusan," katanya.
Hakim itu berkata Sivanesan, yang kini Ahli Dewan Undangan Negeri Sungkai, sepatutnya menghubungi Pathmanathan berhubung tarikh perbicaraan baharu yang ditetapkan oleh Mahkamah Perusahaan tetapi gagal berbuat demikian.
Mahkamah memberikan kos RM20,000 kepada Pathmanathan.
Pada Februari 2021, Mahkamah Tinggi mengekalkan keputusan lembaga tatatertib yang mendapati Sivanesan bersalah atas salah laku profesional. Keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan saranan jawatankuasa tatatertib.
Prosiding tatatertib telah mendakwa Sivanesan melakukan beberapa pelanggaran terhadap Akta Profesion Undang-undang 1976 dan peraturan etiketnya yang termasuk antara lain, memperdaya Mahkamah Perusahaan untuk mempercayai bahawa beliau bertindak bagi pihak Pathmanathan.
Pada 13 Jun 2016, Pathmanathan telah memfailkan aduan terhadap Sivanesan selepas Mahkamah Perusahaan membatalkan tuntutannya untuk pemecatan tidak adil kerana ketidakhadirannya di mahkamah.
Beliau mendakwa, antara lain, bahawa Sivanesan gagal memaklumkan tarikh perbicaraan kepadanya.
Sivanesan diwakili oleh peguam yang diketuai oleh R. Kengadharan manakala peguam Heng Yee Keat mewakili Majlis Peguam Malaysia. Pathmanathan mewakili dirinya sendiri.
-- BERNAMA
#ADUN Sungkai #kes mahkamah #salah laku sebagai peguam #Mahkamah Persekutuan
;