Mahkamah Persekutuan kekal hukuman mati pembunuh Dirang
Bernama
Julai 9, 2024 18:20 MYT
Julai 9, 2024 18:20 MYT
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini hari ini mengekalkan hukuman mati terhadap buruh kontrak yang membunuh dan membakar kanak-kanak berusia empat tahun Nurul Nadirah Abdullah atau lebih dikenali sebagai Dirang, 12 tahun lalu.
Panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan keputusan sebulat suara itu selepas menolak permohonan semakan Muidin Maidin, 37,untuk menggantikan hukuman mati kepada penjara seumur hidup mengikut Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023.
Tengku Maimun menerima bantahan pendakwaan terhadap permohonan semakan Muidin untuk mengetepikan hukuman mati terhadapnya.
"Memandangkan keadaan kes ini, permohonan pemohon (Mudin) ditolak dan hukuman mati dikekalkan," kata Tengku Maimun yang bersidang bersama Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nordin Hassan.
Timbalan Pendakwa Raya Mohd Amril Johari membantah permohonan semakan Muidin dan meminta mahkamah mengekalkan hukuman mati kerana dia (Muidin) menculik kanak-kanak perempuan berusia empat tahun sembilan bulan yang dalam perjalanan pulang ke rumah selepas membeli mi segera dan telur dari kedai runcit berhampiran.
Mudin kemudian membawa kanak-kanak itu ke ladang kelapa sawit di mana mangsa dibunuh dan dibakar, katanya sambil menambah terdapat kesan asid deoksiribonukleik (DNA) milik tertuduh dalam vagina (kemaluan) dan dubur mangsa.
"Kes tragis ini mendapat liputan luas dan menjadi topik perbincangan setiap rakyat hampir setahun serta menaikkan rasa marah dan menggangu emosi rakyat Malaysia ketika itu," katanya.
Sementara itu, peguam Muidin, Nik Mohamed Ikhwan Nik Mahamud memohon mahkamah membenarkan semakan dengan mengetepikan hukuman mati dengan alasan anak guamnya kesal dan sudah insaf.
Pada Jun 2013, Mahkamah Tinggi Johor Bahru menjatuhkan hukuman mati terhadap Mudin selepas didapati bersalah membunuh Dirang di ladang kelapa sawit di Jalan Suria 47, Bandar Seri Alam, Masai, Johor antara jam 11.30 pagi pada 1 Mac 2012 dan tengah malam keesokan harinya.
Rayuannya terhadap sabitan dan hukuman mati telah ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 2014 diikuti Mahkamah Persekutuan pada 2015.
Dirang dilaporkan hilang pada 1 Mac 2012 ketika membeli mi segera dan telur di kedai runcit berhampiran rumahnya di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam.
Jabatan Kimia mengesahkan ujian DNA ke atas mayat rentung yang dijumpai di sebuah lubang di tapak perumahan terbengkalai di Nusa Damai, Masai, Johor pada 8 Mac 2012 adalah milik mangsa.
-- BERNAMA