Mahkamah perintah Presiden PAS bayar saman RM2 juta
Astro Awani
Februari 24, 2014 10:54 MYT
Februari 24, 2014 10:54 MYT
Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu mengarahkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membayar saman berjumlah RM2,000,000 dalam penghakiman ingkar yang diperolehi oleh calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Mohd Shamsul Mat Amin.
Abdul Hadi juga diarahkan membayar 5 peratus faedah dari writ yang difailkan sehingga penyelesaian penuh dan kos tindakan sebanyak RM1,500.
Perintah tersebut dikeluarkan berikutan kegagalan Abdul Hadi memfailkan pembelaan terhadap saman yang dikemukakan oleh Mohd Shamsul sebelum ini.
Mohd Shamsul memfailkan saman terhadap Abdul Hadi ekoran dakwaan yang dibuat ahli parlimen Marang itu bahawa ada calon PKR menjual pil kuda menjelang Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) lalu.
Sebelum Pilihan Raya Kecil DUN Kuala Besut Julai tahun lepas, Mohd Shamsul mendesak Abdul Hadi menarik balik dan memohon maaf berikutan kenyataan calon PKR menjual pil kuda kerana masyarakat menganggap beliau yang didakwa presiden PAS itu.
Dalam PRU13, PAS telah meletakkan calonnya di tiga kerusi DUN di Terengganu yang sepatutnya ditandingi oleh PKR dan menyebabkan berlakunya pertandingan tiga penjuru.
Difahamkan PAS akan memfailkan permohonan untuk mengenepikan perintah itu di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu hari ini.