Mahkamah ganda hukuman penjara terhadap abang pengganas

Bernama
Februari 6, 2017 19:48 MYT
Abang seorang pengganas Daish yang mengendalikan harta milik adiknya akan meringkuk lebih lama dalam penjara. - Gambar hiasan
Abang seorang pengganas Daesh yang mengendalikan harta milik adiknya akan meringkuk lebih lama dalam penjara selepas Mahkamah Rayuan di sini hari ini menggandakan tempoh hukuman penjara kepada lapan tahun.
Panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh menambah tempoh hukuman penjara terhadap Mohamed Danny Mohamed Jedi, 30, selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan bagi hukuman penjara lebih lama.
Katanya, mahkamah perlu menghantar isyarat yang jelas kepada masyarakat bahawa sesiapa yang terbabit dalam kesalahan seperti itu tidak akan dipandang ringan bagi melindungi kesucian masyarakat.
Mohd Zawawi, yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli dan Datuk Kamardin Hashim, berkata hukuman penjara empat tahun yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi adalah tidak memadai selaras dengan trend hukuman oleh mahkamah-mahkamah di Malaysia untuk kesalahan seperti itu.
Beliau memerintahkan Mohamed Danny, adik kepada Muhammad Wanndy, 27, menjalani hukuman itu mulai tarikh tangkapan pada 18 Mei, tahun lepas.
Muammad Wanndy menyertai kumpulan Daesh sejak 2015 dan berada di Syria serta menjadi pelopor utama merekut rakyat Malaysia sebagai ahli kumpulan militan itu di Syria.
Mohamed Danny, bekas pekerja kedai serbaneka dari Melaka, sebelum ini mengaku bersalah mengurus secara tidak langsung harta milik abangnya dengan membenarkan kemasukan wang sebanyak RM12,130 dan mengeluarkan wang sebanyak RM10,000 daripada akaunnya bagi memberi manfaat kepada pengganas berkenaan.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di cawangan Maybank, Ayer Keroh, Melaka antara 28 Jan dan 5 Mac, 2016.
Timbalan Pendakwa Raya, Dhiya Syazwani Izyan Mohd Akhir berkata Mohamed Danny melakukan transaksi perbankan kepada orang-orang berlainan atas arahan abangnya.
Beliau memberitahu mahkamah bahawa Muhammad Wanndy telah meminta bantuan abangnya untuk membayar kos perubatan untuk isterinya (Muhammad Wanndy) yang sedang hamil.
Peguam, Arik Zakri Abdul Kadir, yang mewakili Mohamed Danny, memohon mahkamah supaya mengekalkan hukuman penjara empat tahun kerana anak guamnya telah membantu abangnya ats sebab kemanusiaan.
-- BERNAMA
#daish #Datuk Abdul Rahman Sebli #Datuk Kamardin Hashim #Datuk Mohd Zawawi Salleh
;