Mahkamah dengar rayuan berhubung Titah Adendum pada 6 Januari

Bernama
Disember 9, 2024 20:15 MYT
Rayuan Najib adalah berkaitan cabarannya terhadap Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara enam tahun sebagai tahanan di rumah. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Mahkamah Rayuan telah menetapkan 6 Jan depan untuk mendengar rayuan Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung keputusan Mahkamah Tinggi menolak kebenaran semakan kehakiman dan notis usul yang difailkan bekas Perdana Menteri itu untuk mengemukakan keterangan tambahan berkaitan Titah Adendum.
Sehubungan itu, Jabatan Peguam Negara meminta semua pihak menghormati prosiding mahkamah dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang bersifat subjudis.
"Ini memandangkan rayuan dan notis usul tersebut masih belum diputuskan oleh mahkamah," menurut jabatan itu dalam kenyataan hari ini.
Rayuan Najib adalah berkaitan cabarannya terhadap Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara enam tahun sebagai tahanan di rumah.
Pada 3 Julai lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib untuk memulakan prosiding semakan kehakiman dan beliau kemudian merayu keputusan itu di Mahkamah Rayuan.
Najib, 71, kini menjalani hukuman penjara enam tahun selepas disabitkan dengan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Mahkamah Tinggi sebelum ini menjatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas beliau namun dikurangkan kepada enam tahun dan RM50 juta susulan petisyen pengampunan diraja yang difailkan pada 2 Sept 2022.
-- BERNAMA
#Mahkamah Tinggi #SRC International #Mahkamah Rayuan #Titah Adendum
;