Mahkamah beri kebenaran pelantikan broker, penilai untuk jual Equanimity

Bernama
Oktober 5, 2018 16:19 MYT
Kapal mewah itu dibawa ke Pelabuhan Klang pada 7 Ogos setelah pihak berkuasa Indonesia menyerahkannya kepada Malaysia. - Foto Bernama
Mahkamah Admiraliti di sini hari ini membenarkan permohonan oleh kerajaan untuk melantik broker pusat dan penilai antarabangsa untuk mengendalikan penjualan kapal mewah 'Equanimity' yang dikatakan milik ahli perniagaan yang sedang diburu Low Taek Jho atau Jho Low.
Peguam Sitpah Selvaratnam, yang mengetuai pasukan perundangan untuk kerajaan dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), berkata broker pusat itu kini boleh mula membuat kertas kerja yang diperlukan untuk memasang iklan dan memorandum maklumat untuk bakal pembeli mengenai spesifikasi dan keadaan kapal itu.
"Kami menjangkakan kapal akan dijual dalam beberapa minggu akan datang," katanya ketika ditemui pemberita selepas mendengar permohonan perintah penjualan kapal itu di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Khadijah Idris di kamarnya hari ini.
Ahli perundangan lain yang hadir di mahkamah ialah peguam Jeremy M. Joseph, Ong Chee Kuan, Vinodhini Samuel, mewakili 1MDB dan Peguam Kanan Persekutuan Alice Loke Yee Ching yang bertindak mewakili kerajaan.
Sitpah juga berkata mereka berharap Equanimity akan dijual kepada pemilik baharunya pada awal Disember.
"Sudah tentu, kita tahu ini adalah pasaran yang khusus dan jumlah pembeli berpotensi di luar sana adalah kecil. Tetapi kami berharap akan mendapat pembelian yang baik, dan yang boleh diterima oleh mahkamah, "katanya.
Sitpah berkata broker dan pentaksir yang dilantik mempunyai reputasi antarabangsa dan terkenal di kalangan industri kapal layar.
Ketika ditanya tentang harga, peguam itu berkata, "Kami belum tahu. Ia maklumat sulit ".
Ditanya sama ada Jho Low atau syarikatnya telah membuat permohonan untuk menuntut kapal di mahkamah, Sitpah berkata, "Tidak, tiada sesiapa yang secara rasmi datang kepada kami".
Pada 24 Ogos, Mahkamah Admiralti membenarkan permohonan kepada kerajaan serta 1MDB dan dua anak syarikatnya, iaitu 1MDB Energy Holdings Limited dan 1MDB Global Investment Limited untuk menjual Equanimity.
Dalam notis permohonan itu, empat plaintif memohon penjualan kapal, bunker, bahan api, pelincir dan bahan lain di atas kapal itu dijalankan melalui tender awam atau perjanjian peribadi oleh sheriff Mahkamah Admiralti.
Plaintif memohon supaya pihak sheriff menerima tawaran atau penawaran untuk kapal dan bunker untuk harga belian yang akan dibayar kepada sheriff dalam dolar AS atau euro atau ringgit.
Mereka berkata hasil penjualan kapal itu perlu dibayar ke mahkamah dan diletakkan di dalam akaun bank di Malaysia seperti yang diluluskan oleh pihak Akauntan Negara.
Kapal mewah itu dibawa ke Pelabuhan Klang pada 7 Ogos setelah pihak berkuasa Indonesia menyerahkannya kepada Malaysia.
Ia dirampas dari Bali pada bulan Februari atas permintaan pihak berkuasa Amerika Syarikat sebagai sebahagian daripada siasatan rasuah yang dilancarkan oleh Jabatan Keadilan Ameriak Syarikat (DoJ) ke atas 1MDB.
-- BERNAMA
#1Malaysia Development Berhad #1MDB #Bali #Equanimity #Indonesia #Jho Low #kapal #Mahkamah Admiraliti #Malaysia #siasatan
;