Mahkamah benarkan kes cerai bekas ratu cantik Malaysia dibicarakan di Britain
Astro Awani
Oktober 18, 2014 17:07 MYT
Oktober 18, 2014 17:07 MYT
Bekas ratu cantik Malaysia 1969 Pauline Chai berjaya mendapat kebenaran Mahkamah Tinggi di Britain pada Jumaat agar kes penceraiannya dengan jutawan Tan Sri Khoo Kay Peng dibicarakan di sana.
Pauline, 67 berjaya membuktikan kepada mahkamah mengapa kes tersebut harus dibicarakan di mahkamah Britain.
Menurut laporan Telegraph.co.uk , Pauline telah menamakan koleksi 1,000 pasang kasutnya yang tersimpan di kediaman mewah Hertfordshire yang bernilai £30 juta pound sterling (RM 180 juta) sebagai membuktikan dirinya menetap di Britain.
Suaminya, Khoo, 75 dalam laporan yang sama menafikan perkara tersebut dan menyatakan Pauline hanya mempunyai 40 pasang kasut keseluruhan.
Kes penceraian Pauline dan Khoo menjadi perhatian utama media di UK kerana ia bermungkinan akan menjadi kes penceraian termahal di negara itu.
Dilaporkan Pauline boleh menerima pampasan sehingga RM2.5 billion berikutan penceraiannya dari Khoo, yang merupakan salah seorang hartawan yang paling kaya di Malaysia.
Walaubagaimanapun Pauline berkata, dia tidak berminat ke atas wang suaminya namun penceraian itu adalah kerana mahu melarikan diri dari suaminya yang dianggap sebagai kejam dan menindas.
Khoo pula mengatakan bahawa Pauline tidak layak untuk tinggal di Britain kerana dia hanya menggunakan visa pelawat.
Khoo adalah pengerusi jenama antarabangsa Laura Ashley dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat pelaburan Malayan United Industries.
Kes penceraian mereka sudah berjalan lebih dari setahun dan ia telah menelan belanja hampir £2 juta pound sterling (RM12 juta).
Pasangan tersebut telah berkahwin selama 42 tahun sejak tahun 1970 di Malaysia dan dikurniakan lima orang anak.