Mahkamah benar permohonan semakan, bekas pegawai polis bebas tuduhan pengubahan wang haram

Bernama
Disember 12, 2023 20:05 MYT
Mahkamah Rayuan hari ini membebas dan melepaskan seorang bekas pegawai kanan polis daripada lapan pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM3.35 juta. - Gambar hiasan
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini membebas dan melepaskan seorang bekas pegawai kanan polis daripada lapan pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM3.35 juta.
Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Vazeer Alam Mydin Meera membuat keputusan selepas membenarkan permohonan bekas pegawai berpangkat DSP berusia 60 tahun, Mohd Ismail Syed Merah untuk menyemak satu lagi keputusan Mahkamah Rayuan pada Mac tahun lepas yang menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM42 juta terhadapanya bagi semua pertuduhan.
Hakim Vazeer dalam keputusan sebulat suara berkata, mahkamah bersetuju dengan Mahkamah Sesyen Johor Bahru yang mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kesnya melampaui keraguan munasabah terhadap Mohd Ismail.
"Oleh itu, kami mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi dan mengembalikan semula keputusan Mahkamah Sesyen untuk membebas dan melepaskan dia (Mohd Ismail) terhadap semua pertuduhan," kata hakim itu yang bersidang bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azmi Ariffin.
Hakim Vazeer turut mengarahkan wang RM3.35 juta yang dirampas, dilucuthakkan kepada kerajaan kerana ia adalah hasil daripada aktiviti haram di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Pada 2 Dis 2022, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Mohd Ismail untuk kebenaran menyemak semula sabitannya di bawah Peraturan 105 Kaedah-Kaedah Mahkamah Rayuan 1994 bagi mahkamah mendengar semula rayuannya.
Pada 22 Mac 2022, panel hakim Mahkamah Rayuan yang berbeza menolak rayuan Mohd Ismail terhadap sabitan dan hukumannya.
Bagaimanapun, mahkamah menambah hukuman penjaranya daripada empat tahun kepada 10 tahun dan memerintahkan dia membayar denda RM42 juta yang jika gagal menjelaskannya, dia perlu menjalani hukuman penjara 48 bulan, selepas membenarkan rayuan balas oleh pihak pendakwaan.
Mohd Ismail didakwa atas lima pertuduhan pertama menggunakan wang yang diperoleh daripada aktiviti menyalahi undang-undang, melibatkan RM10,143.37; RM40,000; RM6,283.09; RM993,716.91 dan RM500,000, masing-masing untuk membeli dan menambah pelaburan dalam Pelan Perlindungan Insurans Takafullife dan Pelan Takafulink yang didaftarkan di bawah nama anak perempuannya.
Dia juga berdepan dua lagi pertuduhan melakukan pengubahan wang haram, membabitkan RM499,620 dan RM29,950, menggunakan akaun pihak ketiga milik Tan Kim Tee.
Mohd Ismail dituduh melakukan kesalahan itu di Bangunan MAA Takaful, Jalan Tun Razak, Johor Bahru dan di dua premis bank iaitu RHB dan CIMB di Jalan Rahmat dekat Batu Pahat, Johor antara 4 Sept 2014 dan 28 Dis 2015.
Mohd Ismail menghadapi pertuduhan kelapan iaitu memiliki RM1.27 juta dan 8,178,000 rupiah di rumahnya yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.
Pada 2019, Ismail dibebaskan dan dilepaskan oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas semua pertuduhan pengubahan wang haram.
Bagaimanapun pada 2020, Mahkamah Tinggi mensabitkannya atas semua pertuduhan dan menjatuhkan hukuman penjara empat tahun bagi setiap pertuduhan yang diperintahkan berjalan serentak.
Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar dan Mohd Fairuz Johari mewakili pendakwaan.
Sementara itu, ketika ditemui selepas prosiding, peguam Datuk Wan Azmir Wan Majid yang mewakili Mohd Ismail berkata anak guamnya, yang bersara pada Mei lepas berhak mendapat pencen, gajinya sebelum ini serta elaun.
-- BERNAMA
#bekas pegawai polis #lepas dan bebas #pertuduhan pengubahan wang haram #Mahkamah Rayuan
;