Mahkamah benar permohonan kerajaan tangguh pindah hak milik tanah kepada Semantan Estate

Bernama
September 12, 2024 13:22 MYT
Hakim semasa membenarkan permohonan kerajaan, memutuskan bahawa terdapat keadaan istimewa yang membolehkan mahkamah membenarkan permohonan penangguhan tersebut. - Gambar fail/Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini berjaya dalam permohonannya untuk menggantung keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan pemindahan hak milik seluas 263.272 ekar (106.542 hektar) tanah di Mukim Batu kepada Semantan Estate Sdn Bhd (Semantan Estate) sementara menunggu pelupusan rayuan kerajaan di Mahkamah Rayuan.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh, semasa membenarkan permohonan kerajaan, memutuskan bahawa terdapat keadaan istimewa yang membolehkan mahkamah membenarkan permohonan penangguhan tersebut.
Menurut hakim, tanah seluas 263.272 ekar, yang dikenali sebagai kawasan Duta, telah secara senyap menyaksikan pembinaan beberapa kompleks kerajaan, kemudahan sukan, serta beberapa mercu tanda lain.
Beliau berkata bangunan dan kemudahan ini kini menempatkan sebahagian besar kakitangan dan sumber manusia, serta pelbagai aset awam, termasuk rekod sejarah yang berharga dan sensitif, seperti di Arkib Negara.
"Jika permohonan penangguhan tidak dibenarkan dan pihak plaintif terus bebas bertindak berdasarkan keputusan penghakiman, akan timbul akibat yang besar dan tidak boleh dipulihkan. Oleh itu, permohonan penangguhan haruslah dibenarkan sementara menunggu keputusan rayuan.
"Dengan itu, saya membenarkan permohonan penangguhan tanpa perintah mengenai kos," katanya, sambil menambah ia tidak memprejudiskan Semantan Estate sekiranya permohonan penangguhan dibenarkan.
Pada 8 Ogos, kerajaan telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkan pemindahan tanah kepada Semantan Estate.
Tanah yang terletak di kawasan utama Jalan Duta ini menempatkan, antara lain, Kompleks Lembaga Hasil Dalam Negeri, beberapa bangunan kerajaan, Stadium Hoki Negara, Institut Kefahaman Islam Malaysia, dan Masjid Wilayah Persekutuan.
Pada 7 Ogos, Ahmad Shahrir memerintahkan kerajaan memindah milik tanah berkenaan kepada Semantan Estate selepas membenarkan saman pemula syarikat itu terhadap Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan selaku defendan.
Ahmad Shahrir memerintahkan Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan untuk melaksanakan syarat yang diminta dalam tempoh tiga bulan bermula 7 Ogos selain memerintahkan kerajaan membayar kos RM50,000.
Hakim itu turut memerintahkan defendan agar mendaftarkan plaintif (Semantan Estate) sebagai pemilik tanah melaksanakan semua surat cara pindah milik serta mengeluarkan dokumen hak milik tanah tanpa bebanan dan liabiliti atas nama plaintif.
Pada 2003, Semantan Estate memfailkan saman terhadap kerajaan atas dakwaan pencerobohan yang berpunca daripada pengambilan tanah secara tidak sah daripada syarikat itu.
Pada 2009, Pesuruhjaya Kehakiman Zura Yahya memutuskan bahawa Semantan Estate mengekalkan kepentingan benefisialnya terhadap tanah seluas 106.542 hektar itu yang telah diambil alih oleh kerajaan secara tidak sah serta melakukan pencerobohan ke atas tanah terbabit.
Kerajaan kemudian mengemukakan rayuan namun ditolak pada 18 Mei 2012 dan pada 21 Nov 2012, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kerajaan bagi kebenaran merayu keputusan itu.
Pada 2018, Mahkamah Persekutuan sekali lagi menolak permohonan kerajaan untuk menyemak semula keputusannya sebelum ini.
Semantan Estate memfailkan saman pemula terhadap Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan pada Februari 2017 untuk menguatkuasakan penghakiman Mahkamah Tinggi pada 2009.
Kerajaan juga telah mencadangkan penyelesaian berhubung pertikaian tanah tersebut.
Ketika ditemui pemberita selepas prosiding, Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan yang mewakili kerajaan memaklumkan bahawa rayuan kerajaan akan didengar pada 19 Sept di Mahkamah Rayuan.
-- BERNAMA
#Semantan Estate #kerajaan malaysia #mukim batu #tangguh pindah hak milik #saman
;